Neelofa, suami dan ahli keluarga dikompaun RM60,000

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KUALA LUMPUR 27 April – Selebriti terkenal, Neelofa dan suami serta ahli keluarga dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 selepas didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan kes terbabit telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya semalam dengan keputusan mengenakan kompaun.

Menurutnya, tindakan terhadap Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali PU Riz diambil di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.

“Noor Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 (tiada diskaun dibenarkan) bagi dua kesalahan iaitu selaku penganjur telah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP Penganjuran Majlis Sosial PKPB apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Kedua, melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4(2)(d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala bagi suami Neelofa pula, Muhammad Haris dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 (tiada diskaun dibenarkan) kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2)(d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

“Kesemua ahli keluarga Neelofa iaitu seramai 20 orang turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang yang berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Semua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun pada 27 April 2021 dengan jumlah keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM60,000,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai sehubungan itu dinasihati supaya terus mematuhi Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kegagalan mematuhi perintah itu membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa.

Neelofa, 32, dan PU Riz, 26, melangsungkan perkahwinan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

Majlis pernikahan itu kemudian dikatakan tidak mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas tular beberapa keping gambar yang menunjukkan tiada penjarakan fizikal dalam kalangan tetamu yang hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post Operasi sepanjang Ramadan dipertingkat demi buru PATI pulang beraya
Next post Realiti operasi di lautan ketika Ramadan
Ubah saiz-+=