Reka bentuk hospital masa hadapan perlu disesuaikan dengan norma baharu

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR 6 April. – Reka bentuk fizikal hospital baharu di negara ini pada masa hadapan perlu diubah agar lebih bersesuaian dalam menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku seperti pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu ketika ini yang memerlukan penjagaan dari aspek sanitasi, kebersihan diri dan paling penting usaha mengelakkan penyebaran jangkitan dalam hospital.

“Untuk COVID-19 dengan adanya reka bentuk baharu untuk hospital termasuk bangunan tinggi yang kita benarkan untuk dibina di Malaysia, kita juga perlu melihat kepada elemen setiap fasiliti perlu wujudkan kawasan di mana suhu boleh dikesan.

“Perkara paling penting juga antaranya kita perlu bilik tekanan negatif supaya tidak berlaku penularan jangkitan dalam kalangan pesakit dan dapat kawal elemen kebersihan dalam hospital termasuk bilik bedah,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada forum Strategi dan Pembangunan 2021: Hospital Masa Depan, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Adham berkata kementerian juga telah menerbitkan buku, The Handbook of Technical Design Reference for Disaster Preparedness in Setting Up New High-Rise Hospital untuk membantu pemohon yang mahu membina hospital bertingkat pada masa hadapan.

Ini berikutan pelbagai faktor seperti kenaikan harga tanah, kemampuan dan akses kemudahan perubatan, katanya.

Dalam pada itu Dr Adham berkata hospital dan klinik kerajaan merekodkan jumlah kedatangan pesakit yang tinggi pada tahun lepas apabila mencatatkan 77 juta kedatangan berbanding 17 juta pada 2008.

Jelasnya angka tersebut termasuk mereka yang berulang kali datang ke hospital tersebut dalam tempoh setahun.

Beliau turut mengakui peningkatan angka itu turut disumbang faktor kes COVID-19.

Katanya bagi mengelakkan kesesakan di hospital, Kementerian Kesihatan turut mewujudkan Hospital Kluster dan mengoptimakan semula hospital untuk digunakan sepenuhnya bagi menampung kedatangan jumlah pesakit yang banyak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post Malaysia teruskan penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca
Next post Diskriminasi Sri Lanka tak jejas industri sawit negara
Ubah saiz-+=