Rentas negeri: Hotel lega, jangka tempahan meningkat 60 peratus

AYER KEROH 10 Okt. – Pengusaha hotel lega dan menyambut baik pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri di seluruh negara bagi individu yang lengkap dos vaksin.

Perkara itu dijangka memberi peluang kepada 176 hotel tiga bintang di Melaka untuk kembali dirancakkan selepas mengalami penguncupan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka, Sazali Sabri berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan tempahan sekitar 60 hingga 70 peratus daripada pelancong domestik dari negeri lain.

“Alhamdulillah ia satu keputusan yang melegakan dan kita sudah nampak hala tuju yang perlu kita buat yang mana sebelum ini ketika PKP tempahan bilik yang diterima hanya sekitar tiga hingga empat peratus sahaja.

“Malah, untuk industri perhotelan ini jika setakat kebenaran merentas daerah sahaja dibenarkan ia tidak menguntungkan indsutri ini kerana kebanyakan rakyat Melaka mengunjungi lokasi pelancongan tidak bermalam di hotel.

“Sejak kebenaran rentas daerah dibuka kita hanya merekodkan sekitar 48 peratus tempahan daripada individu yang lengkap dos vaksin untuk menginap dan makan di restoran hotel,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurut Sazali pihaknya bersedia dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan yakin rata-rata pemain industri di bawah persatuan itu hampir 100 peratus telah melengkapi dos suntikan vaksin.

“Kini kesemua ahli telah menerima sijil yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) yang mengesahkan kesemua pemilik termasuk pekerja telah lengkap divaksinasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sazali berkata pelbagai persediaan telah dilaksanakan pihaknya sebelum kebenaran merentas daerah dibuka bagi menarik pengunjung.

Beliau berkata, bagi mencegah penularan COVID-19 pihaknya sentiasa peka dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi menjamin keselamatan pengunjung.

“Kita sudah bersedia termasuklah soal kebersihan, sanitasi dan kesihatan buat orang luar yang datang menginap.

“Kesemua bilik termasuk restoran disanitasi secara berkala dan SOP lain seperti penjarakan antara meja ke meja di restoran turut diamalkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

140
Previous post Rentas negeri, penggiat industri pelancongan teruja
Next post Hampir 80 peratus pelajar 12-17 tahun terima satu dos vaksin- Radzi