Rintihan si penoreh getah

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

AYER LIMAU 21 Okt. – Ketidaktentuan harga getah di pasaran yang disifatkan masih di tahap rendah menjadi dilema buat para penoreh di negeri ini yang tersepit susulan kejatuhan ekonomi negara terutama dalam musim COVID-19 yang melanda dunia.

Seorang penoreh dari Kampung Ramuan China Besar, Raub Maakhir, 60, yang ditemui dikebunnya mengakui hilang motivasi untuk keluar bekerja ekoran harga getah yang tidak menunjukkan peningkatan ketara sehingga kini.

Namun, demi keluarga dan anak-anak, dia tetap menggagahkan diri keluar sejak awal pagi bersenjatakan sebilah pisau dan ubat nyamuk meskipun mengetahui pendapatan yang bakal diperolehi tidaklah seberapa.

“Sebelum ini harga getah memang rendah. Boleh dikatakan sekilo berada di paras RM1.90 dan ada masanya mencecah RM2.00. Dari awal tahun, hari ini barulah dapat harga getah mencapai RM2.50 sekilogram. Itu pun harganya bila-bila masa boleh berubah.

“Tapi dah kata kerja kampung, apa boleh buat? kalau tak buat, siapa nak bagi duit. Pendapat menoreh memang tak menentu. Kalau dapat sikit, makanlah sikit kata orang.

“Walaupun seperti kais pagi makan pagi, ini sahajalah kerja yang boleh saya buat. Memang ramai kata kerja yang kita buat tak sepadan dengan harga yang kita dapat, tapi nak hidup kita kena terima sahajalah,” katanya.

Dia bagaimanapun mengakui pihak kerajaan turut menghulurkan bantuan melalui Lembaga Getah Malaysia yang memberikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan RISDA yang memberikan bantuan musim tengkujuh.

Namun, ujarnya, bantuan itu masih belum mencukupi memandang kos sara hidup yang semakin tinggi dari tahun ke tahun.

“Saya berharap harga getah ini dapatlah dinaikkan. Tak dapat banyak, dapat sikit pun jadilah. Tak kira apa strategi daripada kerajaan, kita sebagai penoreh memang mengharapkan ada peningkatan dalam harga getah semasa.

“Bukan mahu mengeluh. Saya tahu ramai lagi yang lebih susah daripada saya. Tapi saya cuma berharap dapat hidup lebih selesa dengan pendapatan menoreh. Sekurang-kurangnya saya dan keluarga dapat hidup selesa sedikit dalam keadaan kos sara hidup yang sedang tinggi ini,” ujarnya.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi penoreh di Kampung Solok Batang Tua, G. Tamilselvi, 51.

G. Tamilselvi memperoleh pendapatan sekitar RM600 sebulan sebagai seorang penoreh getah.

Dia yang sudah menoreh selama lebih 30 tahun mengakui pendapatan sebagai penoreh tidak padan dengan keringat yang dicurahkan selama ini.

Katanya, pendapatan yang diperoleh sebagai penoreh dalam tempoh sebulan hanyalah sekitar RM600 sahaja yang mana itulah yang digunakan untuk menyara hidupnya sekeluarga selama ini.

“Harga getah memang rendah. Kalau ikutkan tidak berbaloi dengan harga. Kita penat-penat tetapi harga yang ditetapkan tidak betul.

“Tetap sebab memikirkan mahu menyuapkan sesuatu dalam mulut, mahu atau tidak kita kena terima sahajalah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penoreh getah yang mengusahakan kebun sendiri di Kampung Ramuan China Kechil turut mengakui pendapatan yang tidak menentu membuatkan ramai orang mula beralih kepada bidang-bidang lain.

Azmi Abdul Manan, 51, berkata, disebabkan pendapatan bulanan yang rendah, dia terpaksa juga mengusahakan tanaman-tanaman lain seperti sawit dan lain-lain untuk menyara hidup keluarga dan lima orang anaknya yang masih bersekolah.

“Dalam keadaan sekarang bila harga getah tak menentu memang terjejas jugalah dari segi perbelanjaan harian. Kalau harga getah tinggi barulah semua ada semangat untuk keluar menoreh.

AZMI

“Kalau harga jatuh seperti sebelum ini, memang sukar jugalah. Sebab itulah kami sebagai penoreh sangat berharap kerajaan dapat mengawal harga bagi memudahkan nasib orang-orang kampung yang bergantung harap kepada pendapatan ini untuk menyara keluarga,” ujarnya.

Views:

2338
Kongsi :
Previous post Pekerja pengurusan, penyeliaan di kawasan PKPB dibenar ke pejabat, tiga hari seminggu
Next post Ramai yang akan terkesan, jika penoreh getah ‘merajuk’
Ubah saiz-+=