Pekerja pengurusan, penyeliaan di kawasan PKPB dibenar ke pejabat, tiga hari seminggu

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersetuju membenarkan maksimum 10 peratus pekerja di peringkat pengurusan dan penyeliaan di kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk berada di pejabat yang dihadkan selama empat jam bermula 10 pagi hingga 2 petang berkuatkuasa esok.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata antara pekerja yang terlibat adalah dalam tugasan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi maklumat dan komunikasi yang perlu bertugas di pejabat, tiga hari seminggu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamed Azmin berkata langkah itu dibuat berikutan keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, selain mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan kehadiran sebilangan kecil pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan ke pejabat.

“Mengambil tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, MITI akan segera melaksanakan keputusan MKN supaya pihak industri memperkenalkan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi kakitangan pengurusan dan penyeliaan sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan pandemik COVID-19 terutamanya di kawasan yang sedang menjalani PKPB,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Kesihatan turut berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPB  bagi membendung penularan COVID-19 dengan mengehadkan pergerakan orang ramai terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur yang mempunyai penduduk yang padat dan antara hab perindustrian utama negara.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin berkata  syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini dan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.

“Majikan perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan sistem pangkalan data MITI – COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah seramai 3.1 juta orang.

“Mengikut maklum balas yang diterima daripada industri, daripada jumlah itu, seramai 776,135 orang pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. Kumpulan ini diwajibkan menjalani BDR bermula 22 Okt 2020 selaras dengan keputusan MKN,” katanya.

Mohamed Azmin berkata kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri untuk mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian.

“MITI akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP dalam kalangan pihak industri,” katanya.

Beliau juga berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, keseimbangan di antara perlindungan kesihatan awam dan kelangsungan aktiviti ekonomi adalah penting untuk dicapai.

– BERNAMA

Views:

298
Kongsi :
Previous post SK Chinchin kumpul 2248.5 kilogram barangan kitar semula
Next post Rintihan si penoreh getah
Ubah saiz-+=