
‘RIUH’ DI TAMAN BANDARAYA BUKIT SERINDIT
DUYONG 19 Julai – Pelbagai aktiviti menarik mewarnai Taman Bandaraya Bukit Serindit Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Ia bersempena penganjuran Mini Karnival Taman Bandaraya Bukit Serindit anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, Mini Karnival itu menerima sambutan luar biasa dengan lebih 5,000 pengunjung direkodkan membanjiri kawasan rekreasi itu setakat Jumaat dan Sabtu.
Katanya, program tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta sekali gus menghidupkan suasana di kawasan riadah Taman Bandaraya Bukit Serindit, yang sememangnya menjadi tumpuan komuniti setempat.
“Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang karnival berlangsung termasuk aktiviti sukan, kesihatan, kebudayaan dan kekeluargaan melibatkan agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta NGO tempatan.
“Sebanyak tujuh checkpoint disediakan melibatkan pelbagai aktiviti termasuk sambutan Hari Bapa, aktiviti sukan, persembahan Tai Chi, pameran kesihatan serta aktiviti berkayak dan lain-lain lagi.
“Sambutan daripada masyarakat sekitar amat menggalakkan dan kita lihat ada potensi untuk menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Langkah Sihat Bersama Komuniti sempena Mini Karnival Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta lain-lain kenamaan.
Shadan berkata, pihaknya menjangkakan sepanjang tiga hari penganjuran mini karnival itu disasarkan seramai 10,000 pengunjung akan membanjiri Taman Bandaraya Bukit Serindit bagi memeriahkan pelbagai program yang dirangka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.