RiVAC negeri diputuskan Isnin ini

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 6 Ogos – Keputusan Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) negeri yang akan dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Dataran Pahlawan Megamall (DPMM) akan diketahui Isnin ini.

Exco Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, setakat ini proses penyediaan infrastruktur dan kelengkapan vaksinasi sudah siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya dari segi kemudahan termasuk lokasi logistik, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri yang turut dibantu DPMM sedang melakukan persiapan.

KEADAAN PPVIN Dataran Pahlawan Megamall.

“Manakala dari segi tenaga kerja kesihatan sudah disediakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hanya tunggu keputusan.

“Bagaimanapun pembukaan PPVIN itu bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang akan diadakan pada Isnin ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Beliau berkata, beliau sempat mengadakan lawatan kerja di PPVIN bagi meninjau persiapan di pusat berkenaan tengah hari tadi.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan persiapan yang sudah dilakukan,” katanya.

Sementara itu Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, program RiVAC negeri memberi fokus kepada 8,000 penerima vaksin dalam sektor peruncitan di pasar raya.

“Pemberian vaksin menerusi RiVAC memberi fokus kepada petugas dalam ‘hypermarket’ dan ‘supermarket’ yang mana merangkumi jurujual, juruwang, tukang cuci, pengawal keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, MHI melaporkan program di peringkat negeri itu akan dilaksanakan tidak lama lagi dengan menyasarkan 8,000 penerima dalam kalangan peruncit dan pemborong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

759
Kongsi :
Previous post COVID: Malaysia catat kes baharu tertinggi dengan 20,889 kes – KP Kesihatan
Next post Hubungi wakil rakyat jika nama tercicir terima bantuan
Ubah saiz-+=