RM4.7 juta lebar tiga jalan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

LENDU 25 Februari – Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.7 juta bagi projek pelebaran jalan di tiga lokasi utama dalam negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, projek tersebut merupakan antara usaha untuk melancarkan aliran trafik di negeri ini, terutamanya pada waktu puncak.

Menurut beliau, kerja-kerja pelebaran jalan itu membabitkan dua persimpangan di Masjid Tanah dan bulatan Klebang yang mana kesemuanya dijadual akan bermula tahun ini.

Jelas Hameed, projek berkenaan kini masih di peringkat kajian reka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Bagi bulatan di Klebang kita telah menerima kelulusan lebih RM1 juta untuk melebarkan bulatan itu dan ia kini diperingkat kajian reka bentuk dan insya-Allah ia akan ditender pada tahun ini juga.

“Setakat ini kita juga sedang menunggu tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk memindahkan peniaga terlibat di kawasan berkenaan.

“Selain itu, peruntukan yang diterima Kementerian Kerja Raya (KKR) ini juga akan menumpukan pelebaran jalan di persimpangan Solok Duku dan persimpangan berhampiran Petronas Masjid Tanah di mana ketiga-tiga projek ini dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA 2024) Sepak Takraw di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.

Program itu telah disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Dalam pada itu, Hameed memaklumkan, terdapat pelebaran jalan dijangka akan dilaksanakan penghujung tahun ini membabitkan jalan di Simpang Ampat.

“Menerusi projek itu KKR telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta dan kini masih di dalam proses menilai reka bentuk dan insya-Allah ia akan dilaksanakan selepas proses sebutan tender pada penghujung tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

789
Kongsi :
Previous post Jelajah 28 DUN selesai isu infrastruktur rakyat
Next post Peniaga kopi antara peserta pertandingan memancing
Ubah saiz-+=