Jelajah 28 DUN selesai isu infrastruktur rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

LENDU 25 Februari – Lawatan kerja ke 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini diyakini mampu menyelesaikan permasalahan rakyat secara terus terutama dalam aspek pembangunan infrastruktur dan utiliti.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, lawatan kerja membabitkan pertemuan di antara rakyat dan pemimpin setempat yang bermula sejak minggu lalu menerima maklum balas cukup positif.

Jelasnya, hasil maklum balas yang diterima itu, pihaknya bersama jabatan dan agensi terlibat akan berusaha memastikan segala isu membabitkan infrastruktur yang dilontarkan dapat diselesaikan sewajarnya.

“Dalam lawatan diadakan bersama beberapa agensi terlibat kita akan memastikan laporan berkaitan permasalahan rakyat ini diangkat dan mencari jalan penyelesaian sama ada dalam jangka masa pendek, jangka panjang atau tindakan secara terus.

“Insya-Allah, hasil pertemuan di antara pemimpin masyarakat ini akan menyelesaikan masalah infrastruktur dan utiliti yang dihadapi penduduk seperti permasalahan melibatan jalan raya, perparitan, bekalan lampu dan air diselesaikan sebaik mungkin dengan kerjasama agensi yang turut serta.

“Bagi saya lawatan seperti ini perlu dilakukan bagi memastikan keselesaan rakyat, selain sebagai persediaan kita pada tahun ini untuk merancakkan lagi kemasukan pelancong di seluruh negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA 2024) Sepak Takraw di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.

Program itu telah disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Mengulas lanjut, Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, siri lawatan yang diadakan itu telah berjaya menyelesaikan beberapa permasalahan secara langsung malah ada yang sedang dinilai semula bagi memastikan prosesnya dipercepatkan.

“Kita menerima maklum balas positif daripada penduduk kerana mereka dapat menyalurkan permasalahan ini secara terus malah ada beberapa tindakan pantas telah dilaksanakan seperti memastikan penebangan dahan dan pokok di beberapa lokasi yang menghalang pemandangan pemandu jalan raya.

“Sebagai pemimpin masyarakat kita mesti jelas dengan hala tuju Kerajaan Negeri terutama dalam aspek pembangunan infrastruktur kerana ini adalah hasrat Ketua Menteri untuk merancakkan lagi Melaka sebagai negeri pelancongan.

“Jadi rakyat juga perlu selesa dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan terbaik yang disediakan kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1145
Kongsi :
Previous post Acara sukan PBT rancakkan TMM2024
Next post RM4.7 juta lebar tiga jalan di Melaka
Ubah saiz-+=