Acara sukan PBT rancakkan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

LENDU 24 Februari – Penganjuran kejohanan sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) mampu merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, kejohanan diadakan selama empat hari bermula 22 Februari itu membabitkan penyertaan 57 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.

Jelas beliau, Melaka menjadi tuan rumah kepada empat jenis sukan iaitu hoki, sepak takraw, futsal dan dart.

“Saya melihat ini adalah satu pulangan yang cukup baik bagi merapatkan pertemuan antara kesemua kakitangan PBT dalam negara ini.

“Sempena TMM2024 ini sekali gus akan merancakkan lagi kemasukan pelancong domestik menerusi aktiviti sukan dan ini sekali gus akan membawa pulangan baik kepada peniaga kecil dan pusat pelancongan yang ada di Melaka.

“Saya percaya Melaka akan menjadi negeri contoh kepada PBT lain dan ini dapat dibuktikan dengan kejayaan keempat-empat PBT negeri ini menjadi tuan rumah kejohanan dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan perlawanan akhir sepak takraw Kejohanan Sukan MALA 2024 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Pada perlawanan akhir itu, Bandaraya Ipoh (MBI) dinobat johan sepak takraw MALA 2024 selepas menewaskan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Selaku johan, MBI membawa pulang RM2,000 bersrrta trofi dan medal, manakala naib johan menerima RM1,500 dan medal.

Tempat ketiga dan keempat pula disandang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang masing-masing membawa pulang RM1,000 serta RM500 berserta medal.

Untuk kejohanan Sukan MALA 2024, MPAG dipilih penganjur bagi acara sepak takraw, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi acara hoki, diikuti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi acara futsal dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk acara dart.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2999
Kongsi :
Previous post Gilap pewaris seni ukiran kayu
Next post Jelajah 28 DUN selesai isu infrastruktur rakyat
Ubah saiz-+=