RMK12: Peraturan baharu E-Sisa isi rumah akan diperkenalkan

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 27 Sept – Peraturan baharu bagi buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) isi rumah akan diperkenal bagi pelaksanaan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR).

Menurut dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), EPR adalah pendekatan dasar yang meletakkan tanggungjawab kepada pengeluar untuk merawat dan melupuskan produk yang telah digunakan sama ada melalui tindakan kendiri atau sumbangan kewangan.

Dokumen dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini menyatakan bahawa tanggungjawab itu akan mendorong pengeluar mengurangkan sisa di punca dan menggalakkan pengeluaran produk mesra alam.

Pendekatan EPR ini akan turut diperluas kemudiannya meliputi lain-lain jenis dan aliran sisa, terutama bahan pembungkusan dan plastik sekali guna.

“Peraturan berkaitan, instrumen ekonomi dan mekanisme pemantauan akan disediakan untuk membolehkan pengeluar dan peruncit melaksanakan EPR bagi jenis sisa yang lain.

“Pelaksanaan EPR akan disokong melalui sistem pengambilan balik oleh pengeluar atau pemilik jenama serta menerima pakai prinsip pengguna yang membayar dan pencemar yang membayar,” menurut dokumen itu.

ISMAIL Sabri.

Di bawah Rancangan Malaysia 2021 sehingga 2025 ini juga pengurusan sisa pepejal akan terus diperkukuh untuk memastikan pematuhan kepada standard sedia ada bagi mencapai matlamat sisa sifar, di mana penguatkuasaan pengasingan sisa di punca dan pelaksanaan inisiatif 3R akan dipergiat.

Untuk tujuan ini, fasiliti pengumpulan, pengasingan dan kitar semula sisa akan ditambah.

Sementara itu, kerajaan negeri yang masih belum menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 akan disaran menggubal atau meminda undang-undang kecil dan ordinan yang berkaitan bagi memastikan semua jenis sisa diurus secara menyeluruh.

Kerajaan turut akan membangunkan pangkalan data komprehensif untuk semua jenis sisa bagi pemantauan yang lebih baik dan menyokong inisiatif ekonomi kitaran.

Selain itu beberapa kemudahan pengurusan sisa bersepadu akan dibina bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa menggabungkan kemudahan pemerolehan semula bahan untuk mengelas dan mengasingkan sisa; kemudahan rawatan termasuk pengurai anaerob, pengompos dan insinerator serta tapak pelupusan sanitari.

“Pembinaan kemudahan bersepadu ini mampu merawat kira-kira 95 peratus sisa dan hanya lima peratus akan dilupuskan di tapak pelupusan sanitari. Tapak pelupusan terbuka sedia ada pula akan ditutup dengan selamat dan pengimportan sisa akan dihentikan secara berperingkat,” menurut dokumen itu.

Dokumen itu memaklumkan bahawa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Kastam 1967 juga akan disemak semula untuk membolehkan penguatkuasaan, pemantauan dan kawalan lebih ketat bagi import dan eksport sisa, selain bagi menangani isu alam sekitar lain termasuk isu baru muncul.

Sementara itu bagi membolehkan tindakan segera diambil atas penjenayah alam sekitar, pasukan petugas khas jenayah alam sekitar yang ditubuhkan September tahun lalu akan diperkasa untuk menguat kuasa Akta 127 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Selain Akta 127, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Racun 1952 juga akan disemak semula bagi memperkenalkan peraturan baharu bagi mengurangkan risiko pembuangan bahan kimia dan berbahaya.

“Di bawah peraturan baharu ini, pemakluman dan pelaporan mengenai pengeluaran, import, eksport, penggunaan dan pengurusan bahan kima dan bahan berbahaya akan dijadikan mandatori,” menurut dokumen itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

661
Kongsi :
Previous post 1,421 kes panggilan telefon menyamar pegawai kerajaan, babitkan kerugian RM57juta – Polis
Next post Pelajar OKU teruja terima vaksin
Ubah saiz-+=