Sorting by

×

RMK13 PACU PELANCONGAN, INDUSTRI HALAL MELAKA – KM

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026 – 2030 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan Demi Mengangkat Martabat Rakyat’.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyifatkan RMK13 sebagai sebuah pelan pembangunan lima tahun yang menyeluruh dan terangkum, dalam memacu transisi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi melalui pengukuhan fiskal dan sumber pertumbuhan baharu serta reformasi struktur ekonomi.

Dalam konteks Negeri Melaka, Ketua Menteri berkata, RMK13 dilihat sebagai pemangkin utama untuk memperkukuh kedudukan bumi bersejarah ini sebagai negeri pelancongan bertaraf dunia, pusat industri halal serantau dan negeri yang lebih berdaya tahan terhadap cabaran masa hadapan.

“RMK13 menjadi pemacu usaha Melaka memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan terunggul, pusat industri halal serantau, dan negeri yang lebih bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim serta keperluan infrastruktur masa depan.

“Inisiatif ini akan dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat Melaka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Pejabat Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Ab Rauf turut menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan yang memfokuskan mengenai pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (Special Tourism Investment Zone – STIZ) yang turut memberi tumpuan kepada Melaka.

Jelas beliau, STIZ akan menjadi pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu berasaskan seni, budaya, warisan serta alam semula jadi, menjadikan Melaka destinasi yang lebih kompetitif di pentas antarabangsa.

“Dalam aspek pengurusan risiko bencana, Melaka turut menerima manfaat daripada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru. Projek ini dijangka akan mengurangkan risiko dan impak banjir, seterusnya meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Malah, Melaka juga komited menyokong aspirasi nasional meningkatkan nilai eksport halal negara kepada RM80 bilion dan sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 11 peratus melalui pembangunan Halal Industrial Park di Melaka. Penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia akan memperkukuh lagi kedudukan Melaka sebagai hab halal strategik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyokong Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) yang diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kapasiti dan kecekapan bekalan air sejajar dengan pembangunan kawasan perumahan baharu dan peningkatan permintaan industri di Melaka,” ujar beliau.

Demi melakar semula pembangunan, Ab Rauf memaklumkan, Kerajaan Negeri akan terus merencana pembangunan negeri melalui permohonan-permohonan projek di bawah Rolling Plan 1 (RP1) RMK13 bagi tahun 2026, di mana Melaka telah mengemukakan permohonan sebanyak 258 projek berjumlah RM7.15 bilion.

“Projek-projek berimpak tinggi ini memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur moden, pengukuhan ekonomi digital, dan pemerkasaan industri strategik negeri,” ujar beliau.

Tambah Ketua Menteri, kesemua inisiatif RMK13 akan dilaksanakan dengan kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, sektor swasta dan koperasi, bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi dapat dicapai untuk rakyat Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

892
Kongsi :
Previous post PROTON INSTITUTE MELAKA PERKUKUH SINERGI LATIHAN EV, PERKASA BAKAT TEMPATAN
Next post HMA 2025: MUZIUM PENJARA MELAKA PALING POPULAR