Sorting by

×

RORO Melaka – Dumai dilihat mampu rancakkan ekonomi dua negara

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MELAKA, 31 Mei – Perkhidmatan feri pengangkut ‘Roll On Roll Off’ (RORO) Dumai-Melaka yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia dilihat mampu merancakkan lagi pembangunan sektor ekonomi, pelancongan dan sebagainya kepada kedua-dua negara, jika ia dapat direalisasikan.

Gabenor Riau H Syamsuar berkata ia antara perkara yang dibincangkan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam selain jambatan Melaka-Rupat, Dumai bagi perhubungan antara Thailand, Malaysia dan Indonesia melalui Dumai sempena kunjungan hormat ke Istana Melaka, Sabtu lepas.

“Rancangan pembangunan RORO Dumai-Melaka ini telah lama dibincangkan oleh kedua-dua belah pihak, malah Indonesia dan Malaysia juga telah melakukan pertemuan beberapa kali berhubung perkara ini di kedua-dua negara namun sejak pandemik COVID-19 melanda, tidak ada lagi perbincangan mengenai hal itu.

“Pada kesempatan berkunjung ke Malaysia kali ini, pihak kita telah membincangkan berkenaan rancangan tersebut bersama beberapa menteri untuk menyuarakan perkara ini dengan harapan ia dapat disampaikan kepada Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut Syamsuar berkata kerajaan Indonesia melalui Menteri Pengangkutan dan Pemerintahan Wilayah (Pemda) juga masih menyediakan langkah-langkah untuk pembinaan RoRo Dumai-Melaka.

“Kita menyokong hal ini dapat direalisasikan dan persiapan juga perlu dilakukan di peringkat awal selain tidak mustahil pembinaan jambatan itu direalisasikan bersama lebih-lebih lagi kerajaan Indonesia melalui Menteri Perdagangan telah melantik Riau sebagai pusat perdagangan di wilayah Sumatera,” katanya.

Beliau berkata ketika ini Presiden Indonesia Joko Widodo juga telah membina tol Sumatera dari Lampung ke Aceh termasuk di Riau dan jika pembinaan itu berjaya ia juga memberi manfaat yang besar untuk Indonesia dan Malaysia.

“Riau juga telah dilantik sebagai pemasar komoditi eksport ke Malaysia dan Thailand dengan negara-negara yang mempunyai hubungan sosiobudaya dalam satu rumpun seterusnya melalui Roro Dumai-Melaka ini jika beroperasi Malaysia juga boleh memasarkan komoditi mereka ke Indonesia,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2065
Kongsi :
Previous post Virna Puspa Setyorini dilantik pewarta baharu Antara di Kuala Lumpur
Next post Rasuah pengurusan jenazah: Tiga petugas kesihatan direman lima hari
Ubah saiz-+=