Rumah berhias merdeka
PENGKALAN BATU 25 Ogos- Seorang warga emas sanggup berbelanja ‘besar’ dan menggunakan ratusan Jalur Gemilang untuk menghias rumah pusakanya yang berusia lebih 100 tahun di Kampung Pengkalan Batu, di sini.
Setiap tahun Rahimah Tompang, 68, memperuntukkan antara RM2,000 hingga RM5,000 bagi menghias kediaman pusaka itu termasuk melakukan proses mengecat semula.
Warga emas ini berkata, selain mengibarkan Jalur Gemilang pelbagai saiz dia turut menggunakan barangan kitar semula seperti tempurung kelapa dan botol plastik bagi menceriakan lagi landskap di perkarangan rumahnya.
“Disebabkan minat saya buat semua ini dan setiap tahun bermula awal bulan Ogos, saya akan lakukan kerja menghias rumah.
“Semua ini bermula pada 2001 dan untuk pelbagaikan lagi hiasan, beberapa busana Melayu tradisional dan barangan lama juga dipamerkan,” katanya.
Rahimah berkata, meskipun keadaan rumah itu semakin uzur kerana masalah anai-anai tetapi itu bukan penghalang buatnya untuk terus menjaga dan menghias bangunan berkenaan bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.
“Kerja menghias ini memberi kepuasan kerana dengan cara sebegini dapat berkongsi suasana dan semangat patriotik dengan orang ramai.
“Syukur anak-anak faham, dengan duit yang mereka berikan saya simpan dan kemudian belanjakan untuk hias rumah, selain mereka juga ada membantu untuk pastikan minat saya ini tercapai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.