SAMB garis langkah jangka pendek dan panjang atasi isu bekalan air

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 15 Disember – Kerajaan Negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah mengaturkan perancangan penambahbaikan bagi jangka masa panjang dan pendek untuk mengatasi masalah bekalan air yang membelenggu penduduk.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, pihak SAMB akan menambah pemasangan alat kawalan tekanan bertujuan mengurangkan kekerapan paip pecah terutama jenis Asbestos Cement.

Katanya, anggota akan turut ditambah dalam membaiki paip bocor dan pecah dengan kadar segera mengikut ketetapan yang ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“SAMB juga akan menambah bilangan kontraktor pembaikan dalam kerja pembaikan paip.

“Selain itu kita juga akan memastikan carian bocor dan pecah oleh pembaca meter SAMB dengan kadar minima 1,000 kes sebulan selain mendapat aduan dari pengguna.

“Kita juga akan menambah bilangan pemantauan paras kolam secara dalam talian supaya ‘alert’ awal dapat diterima dan tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka yang ke-15 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaidi turut menjelaskan langkah jangka panjang mengatasi isu terbabit antaranya dengan melakukan rehabilitasi terhadap loji-loji rawatan air seperti di Loji Air Bukit Sebukur dan Loji Air Bertam.

“Membangunkan loji rawatan air baru seperti Loji Rawatan Air Jernih dan Loji Rawatan Air Merlimau Fasa 2 juga akan dilaksanakan, selain program penukaran paip Asbestor Cement secara berperingkat akan dilakukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1822
Kongsi :
Previous post WHO harap darurat kesihatan global COVID-19 dapat ditamatkan tahun depan
Next post Pulau Upeh, permata Melaka yang akan dijaga – KM
Ubah saiz-+=