Santai @Sungai Melaka promosi lokasi riadah baharu di Taman SDG

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PENGKALAN BATU 9 Julai – Program Santai @Sungai Melaka mempromosi lokasi riadah baharu di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pemilihan Taman SDG sebagai tapak program dianggap strategik kerana terletak bersebelahan Sungai Melaka dan berhampiran Melaka Sentral.

Katanya, lokasi tersebut akan sentiasa dihidupkan dengan pelbagai aktiviti dan sudah dimulakan sejak tiga minggu lalu.

“Kita mahu mempromosikan Taman SDG ini kepada umum, datang beramai-ramai beriadah, sekali gus menghidupkan tempat ini.

“MBMB mula menaik taraf tapak ini sejak tahun 2020 dan kita mahu kawasan yang dahulunya pernah menjadi tempat bermasalah dibangunkan menjadi lokasi ‘sihat’ dalam Melaka.

“Sejak tiga minggu lalu kita mengadakan Program Santai @Sungai Melaka dan malam ini perasmiannya, kita bawakan lebih 16 peniaga kecil untuk memulakan perniagaan mereka bagi menarik lebih ramai berkunjung ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santai @Sungai Melaka di SDG Park, di sini, malam tadi.

Menerusi program tersebut, Shadan turut melepaskan seramai 800 peserta memakai pakaian tradisional pada Pertandingan Fun Walk atau Jalan-Jalan Malam Warisan sempena Santai @Sungai Melaka.

“Bagi menghidupkan lokasi ini, kita juga bawakan pelbagai aktiviti antaranya persembahan kebudayaan daripada komuniti Chetti, Portugis, Baba dan Nyonya selain kumpulan Dondang Sayang.

“Menerusi program ini juga kita sediakan pameran, slot makanan warisan, pertunjukan jet air ‘flyboard’ dan wayang pacak.

“Kita adakan kesemua aktiviti ini bermula jam 5 petang hingga lewat malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1602
Kongsi :
Previous post Uptown Pahlawan Walk: MBMB cari penyelesaian menang-menang untuk semua pihak
Next post Polis serbu ‘port mat rempit’, lima ditahan
Ubah saiz-+=