Polis serbu ‘port mat rempit’, lima ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

ALOR GAJAH 9 Julai – Padah beraksi ‘spiderman’ di atas jalan raya, seorang ‘mat rempit’ patah tangan ketika dicekup polis dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar Kuala Sungai Baru, semalam.

Lelaki berusia 19 tahun itu antara lima individu yang ditahan menerusi operasi yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, operasi yang membabitkan seramai 25 anggota itu dijalankan antara jam 3 petang hingga 2 pagi.

“Menerusi operasi itu kita menahan lima penunggang motosikal berusia antara 15 hingga 21 tahun megikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesemua mereka ini disyaki melakukan menunggang dalam keadaan merbahaya termasuk membuat aksi ‘spiderman’ selain seorang mengalami patah tangan selepas dikatakan bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh dipercayai berlumba.

“Namun begitu kesemua lima individu itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi sama juga sebanyak 155 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik turut dikeluarkan kepada penunggang serta pemilik motosikal.

“Hasil daripada operasi itu kita dapati pelbagai kesalahan trafik dilakukan dan saman kemudian dikeluarkan.

“Operasi itu dilakukan susulan rungutan daripada penduduk setempat yang mengatakan kawasan di situ khususnya di Telok Gong sering berlaku aktiviti mat rempit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2161
Kongsi :
Previous post Santai @Sungai Melaka promosi lokasi riadah baharu di Taman SDG
Next post Modal perniagaan RM285,000 lesap diperdaya
Ubah saiz-+=