AZMI TERUSKAN TRADISI ‘KEDAI BERGERAK’, SELESA MENJAJA SAYUR GUNA MOTOSIKAL

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER LIMAU 5 Oktober – Bagi generasi yang membesar sekitar tahun 80-an hingga 90-an, bunyi ikonik hon angin atau loceng daripada penjaja motosikal pasti akan menggamit memori lama yang cukup mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.

Mereka ini bukan sekadar peniaga, tetapi dianggap sebagai ‘kedai bergerak’ yang sentiasa dinantikan kehadirannya di kawasan perumahan, kampung atau luar pagar sekolah.

Apa tidaknya, selain memudahkan golongan hawa membeli bekalan barangan basah, anak-anak juga tidak terlepas daripada mendapat ‘jajan’ yang turut dibawa oleh penjaja berkenaan.

Akibat peredaran zaman, perkembangan ekonomi negara yang semakin berkembang, kini hampir setiap keluarga di Malaysia memiliki kenderaan sendiri meskipun sekadar sebuah motosikal.

Berikutan itu keadah menjaja menggunakan motosikal menjadi kurang popular dan amat jarang ditemui berikutan suri rumah lebih gemar berbelanja di pasar raya besar menawarkan pelbagai pilihan barangan basah serta dapur.

Namun bagi Azmi Mohd Khamis, 48, tetap selesa menjaja sayur-sayuran menggunakan motosikal sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sejak dua tahun lalu demi mencari pendapatan sampingan.

“Pendapatan daripada hasil jualan setiap hari alhamdulillah cukup untuk saya dan keluarga, kita bukan nak banyak biarlah dapat tampung keperluan yang sepatutnya ada di rumah.

“Sebenarnya apa yang saya lakukan ini adalah atas dasar minat, satu bentuk ibadah kerana sayur dijual pada harga kasih sayang sahaja tak terlalu mahal tak terlalu murah. Orang kata kalau jual mahal nanti pokok merajuk tak mahu keluarkan hasil lagi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurutnya, antara sayur yang ditawarkan adalah kangkung, bayam, sawi, limau nipis, cili padi, labu manis, kacang panjang, timum, peria katak, peria, serai, petola dan pelbagai lagi sayur kampung.

Katanya, sayur-sayuran berkenaan dibeli rapada rakan-rakan yang mengusahakan kebun kecil kemudian ditawarkan kepada pengguna sekitar Ayer Lumau pada harga RM3 sebungkus.

“Menerusi cara ini saya dapat bantu diri sendiri, memasarkan hasil kebun diusahakan kawan-kawan dan paling mendapat faedah adalah pengguna, harga memang berpatutan, segar dari kebun dan saya datang kepada mereka.

“Secara tidak langsung kaedah ini mewujudkan kitaran ekonomi setempat saya dapat manfaat, kawan-kawan yang usahakan kebun juga untung, jadi mereka juga terus bersemangat untuk terus berbudi pada tanah,” katanya.

Berkongsi rutin hariannya, Azmi berkata, mengikut kebiasaan dia akan keluar dari rumah untuk menjaja selepas Subuh dan berehat sebentar pada waktu Zohor.

“Bila sudah masuk Asar saya akan cari mana-mana lokasi yang sesuai di pekan Lubuk China untuk menunggu mana-mana pembeli yang mahu mendapatkan sayur. Bula sudah nak masuk jam 10 malam saya akan kemas barangan jualan masih berbaki dan pulang ke rumah.

“Alhamdulillah saya berasa seronok dengan pekerjaan dilakukan sekarang ini, dapat jana pendapatan jumpa orang ramai, saya anggap semua orang sebagai saudara saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

904
Kongsi :
Previous post DUN AYER LIMAU: LEBIH RM1 JUTA NAIK TARAF JALAN, LONGKANG