
MELAKA HARGAI GOLONGAN BERUSIA, 2,000 WARGA EMAS NIKMATI KEMASUKAN KE LOKASI PELANCONGAN TERPILIH
AYER KEROH 5 Oktober – Seramai 2,000 warga emas termasuk peserta Karnival Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 menerima tiket percuma ke beberapa lokasi pelancongan terpilih di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemberian itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri bersama agensi pelancongan terpilih sebagai penghargaan kepada peserta karnival.
Katanya, bertemakan ‘Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni’, penganjuran Karnival Hari Warga Emas itu adalah julung kali diadakan di Melaka.
“Kerajaan Negeri bersama agensi pelancongan terpilih di Melaka telah bersetuju memberikan tiket kemasukan percuma ke beberapa tempat pelancongan terpilih kepada 2,000 orang warga emas termasuk peserta yang hadir.
“Semoga hadiah kecil ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga dan menikmati keindahan negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Karnival Warga Emas Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Ab Rauf berkata, selain tajaan tiket kemasukan Kerajaan Negeri juga turut menyumbang sejumlah RM65,000 bagi menyokong penganjuran karnival berkenaan.
“Untuk sambutan karnival ini seramai 2,000 peserta dari seluruh Malaysia bermula dari Perlis hingga ke Johor berhimpun bersama-sama di Melaka menjayakan pelbagai acara disediakan termasuk Fun Walk sukan rakyat.
“Penganjuran ini bertepatan dengan tema sambutan iaitu memastikan golongan warga emas terus diraikan, disayangi dan diberi tempat yang istimewa dalam arus pembangunan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

