
DISKAUN KOMPAUN MBMB RINGANKAN BEBAN RAKYAT, TINGKATKAN JUMLAH KUTIPAN HASIL
AYER KEROH 5 Oktober – Kutipan hasil kompaun Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi kaunter bergerak Program MBMB Mesra (MeSRA) tahun ini menunjukkan peningkatan yang amat positif.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, menerusi inisiatif itu jumlah bayaran kompuan direkodkan adalah sebanyak 27,011 berbanding 26,270 bagi tempoh sama tahun lalu
Shadan berkata, peningkatan itu menunjukkan pelaksanaan inisiatif pengurangan kompaun dan saman antara 70 hingga 80 peratus turut menggalakkan orang awam menyelesaikan tunggakan masing-masing.
Katanya, sejak inisiatif berkenaan dilaksanakan, sebanyak 1,576 kompaun dan saman tempat letak kereta diberikan pengurangan dengan jumlah bayaran diterima selepas pengurangan sebanyak RM84,738, manakala nilai keseluruhan pengurangan mencapai RM338,952.
“Sementara itu bagi Notis Pembayaran Kompaun (NPK), sebanyak 1,031 NPK berjumlah RM155,030 diberikan pengurangan, dengan jumlah bayaran diterima sebanyak RM62,920 dan keseluruhan diskaun sebanyak RM99,070,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada orang awam menyelesaikan kompaun pada kadar lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan selain menggalakkan penyelesaian tunggakan.
“Pada masa sama, pengurangan kompaun ini membantu meningkatkan kadar penyelesaian dan kutipan, mengurangkan jumlah tunggakan serta menggalakkan orang awam mematuhi peraturan yang ditetapkan MBMB,” katanya.
Mengulas kutipan melalui kaunter bergerak MeSRA, Shadan berkata kompaun penguatkuasaan mencatat peningkatan daripada RM16,678 pada 2025 kepada RM19,189 pada tahun 2026.
“Bagaimanapun, kutipan kompaun tempat parkir kenderaan menurun daripada RM8,942 kepada RM7,572, manakala kutipan kompaun pelesenan turut berkurang daripada RM550 kepada RM250.
“Bagi kompaun alam sekitar pula, MBMB merekodkan kutipan RM100 pada tahun 2025, namun tiada kutipan direkodkan pada 2026.
“Secara keseluruhan, kutipan RM27,011 yang direkodkan pada 2026 meningkat RM741 berbanding RM26,270 pada tahun sebelumnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

