
MAIM SALUR LEBIH RM6 JUTA UNTUK BANTUAN PERUBATAN, KOS DIALISIS
KOTA LAKSAMANA 5 Oktober – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membelanjakan lebih RM6.7 juta bagi tujuan bantuan berkaitan perubatan dan kesihatan setakat September tahun ini.
Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Norazmi Hussin berkata, perbelanjaan itu turut membabitkan tanggungan kos dialisis dan bantuan bagi rawatan pelbagai penyakit.
Katanya, kes paling kerap diterima ketika ini melibatkan pesakit jantung dan kanser, dengan kira-kira dua hingga tiga permohonan setiap minggu.
“Perbelanjaan RM6.7 juta turut melibatkan bantuan perubatan termasuk menanggung sepenuhnya kos rawatan dialisis 260 penerima setiap bulan.
“Setiap minggu kami akan pastikan permohonan yang dibuat akan dibawa ke mesyuarat kerana MAIM mahu memastikan permohonan dikemukakan diambil tindakan segera.
“Kita mengadakan mesyuarat setiap minggu termasuk melalui Jawatankuasa Khas bagi memastikan bantuan berkenaan dapat dipertimbangkan dan diluluskan bagi memudahkan urusan pemohon,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Norazmi berkata, kelulusan bantuan kebiasaannya mengambil masa antara satu hingga dua minggu, manakala tempoh seterusnya bergantung kepada proses pengurusan kewangan.
“MAIM sentiasa terbuka menerima sebarang permohonan bantuan daripada masyarakat yang memerlukan namun dalam menguruskan wang zakat kami perlu menjalankan siasatan terlebih dahulu supaya wang itu disalurkan dengan sebaiknya.
“Selepas siasatan, permohonan akan dibawa ke mesyuarat mingguan untuk dipertimbangkan sebelum diluluskan dan disalurkan kepada pemohon.
“Untuk makluman, MAIM diaudit oleh Jabatan Audit Negara setiap tahun dan perkara seperti ini menjadi tumpuan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam penyaluran bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

