MELAKA ‘KILANG’ PEKERJAAN, KADAR PENGANGGURAN RENDAH

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Oktober – Anak Melaka mempunyai prospek pekerjaan yang cerah susulan perkembangan sektor perindustrian yang terus membuka lebih banyak peluang kerjaya untuk rakyat tempatan di negeri sendiri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembukaan kawasan industri baharu serta kemasukan pelaburan ke negeri ini memberi ruang lebih luas kepada Anak Melaka untuk mendapatkan pekerjaan tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.

Menurutnya, kelebihan Melaka sebagai lokasi perindustrian turut membolehkan rakyat tempatan bekerja berhampiran kediaman masing-masing.

“Ramai orang suka bekerja di Melaka dan begitu juga pelabur suka buka kilang di negeri ini. Sebab Melaka ini dia tak sama masalah di Lembah Klang ataupun di Johor Bahru.

“Orang luar datang bekerja, dia terpaksa sewa rumah dan pendapatan dia dikongsi pula untuk bayar bil elektrik, bil air. Tapi di Melaka ini, jaraknya dekat, hendak pergi kerja juga tidak perlu menempuh perjalanan yang panjang,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, bagi memastikan peluang pekerjaan terus tersedia untuk Anak Melaka, Kerajaan Negeri telah membuka kawasan industri baharu bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.

Menurutnya, usaha berkenaan turut membuahkan hasil apabila Melaka merekodkan pelaburan RM14.8 bilion pada tahun lalu, selain pembukaan kawasan industri baharu seperti Taman Teknologi Jerman (GTP) dan MCORP Hi-Tech Park.

“GTP dibuka berasaskan daripada keyakinan pelabur dari Jerman yang telah bertapak selama 52 tahun di Melaka dan terus mengembangkan operasi sehinggakan telah menggajikan tiga generasi di kilang mereka.

“Manakala MCORP Hi-Tech Park pula akan dibangunkan di kawasan seluas 5,000 ekar di utara Melaka yang akan memberi tumpuan kepada sektor elektrik dan elektronik, pemasangan kenderaan serta logistik.

“Saya yakin, kawasan perindustrian baharu ini akan menggamit lebih ramai pelabur datang kerana kedudukannya yang dekat dengan Lebuhraya Utara-Selatan dan kita duduk di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan industri dan kemasukan pelabur itu turut menyumbang kepada kadar pengangguran Melaka yang kini berada pada 1.3 peratus ia lebih rendah berbanding kadar nasional.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2538
Kongsi :
Previous post MPHTJ TINGKAT OPERASI PREMIS WARGA ASING