
2,521 PENJAJA NIKMATI PENGURANGAN 50 PERATUS LESEN MBMB
AYER KEROH 6 Oktober – Seramai 2,521 penjaja dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menikmati pengurangan bayaran sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen untuk tempoh Julai hingga September 2026.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) itu turut menyumbang kepada peningkatan 14 peratus pembaharuan lesen penjaja dalam tempoh berkenaan.
“Pengurangan ini dapat membantu meringankan beban kewangan penjaja, khususnya peniaga kecil yang berdepan kos operasi, bahan mentah serta pendapatan yang tidak menentu.
“Pada masa sama, ia memberi ruang kepada peniaga menguruskan modal dan merancang perniagaan dengan lebih baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shadan, pelaksanaan inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi pengurangan kos kepada penjaja, malah menggalakkan mereka memperbaharui lesen dan terus mematuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan MBMB.
“Berdasarkan rekod MBMB pada 2025, seramai 1,389 peniaga lesen penjaja statik atau tapak penjaja menerima manfaat berjumlah RM53,558.75, manakala 1,058 peniaga atau penganjur pasar malam menerima manfaat sebanyak RM48,037.75.
“Seramai 74 penjaja bergerak turut menerima manfaat dengan nilai RM656.75 pada tahun sama. Bagi 2026 pula, seramai 1,395 peniaga lesen penjaja statik atau tapak penjaja menerima manfaat berjumlah RM67,071.75, diikuti 727 peniaga atau penganjur pasar malam dengan nilai RM35,924.50.
“Seramai 85 penjaja bergerak turut menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan,” katanya.
Shadan berkata, MBMB akan terus memperkukuh pendekatan MeSRa bagi memastikan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kekal responsif terhadap keperluan rakyat, khususnya komuniti penjaja dan peniaga kecil.
“Usaha ini penting bagi memastikan sokongan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil dapat diteruskan, selaras dengan keperluan semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

