6 MODUL PENDIDIKAN UBAH NASIB ANAK DUN AYER LIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 6 Oktober – Enam modul pendidikan diperkenalkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sejak tiga tahun lalu bagi membangunkan potensi dan menyuntik motivasi dalam kalangan anak-anak setempat untuk mengubah taraf hidup menerusi pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program berkenaan merangkumi pelbagai pendekatan termasuk kem bahasa, perkhemahan, sukan, program keagamaan serta pendedahan kepada peluang pendidikan dan kerjaya.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan secara berterusan bagi membuka minda anak-anak Ayer Limau mengenai peluang pendidikan yang boleh diterokai untuk membina masa depan lebih baik.

“Di DUN Ayer Limau, kita ada modul untuk sekolah. Kita ada enam program untuk anak-anak sekolah.

“Antara pengisian kita ada kem bahasa, perkhemahan dan sukan, selain Kalam Ilahi untuk program keagamaan. Malah, kita juga ada pendedahan anak-anak DUN Ayer Limau untuk melihat peluang pendidikan dan kerjaya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, enam modul berkenaan telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun lalu sebagai usaha membentuk keyakinan dan hala tuju pendidikan dalam kalangan generasi muda.

Katanya, pendedahan kepada institusi pengajian tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut memberi peluang kepada pelajar melihat sendiri pilihan pendidikan serta laluan masa depan yang mungkin mereka ceburi.

“Kita dah jalankan selama tiga tahun yang lepas untuk membangunkan, untuk memotivasi kepada anak-anak DUN Ayer Limau supaya mereka boleh mengubah taraf hidup mereka tetapi dengan syarat mereka mestilah mendapatkan pendidikan yang sempurna,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan modal insan perlu diberikan perhatian seiring pembangunan fizikal bagi memastikan kemajuan di Ayer Limau turut diteruskan oleh generasi muda.

Menurutnya, pendidikan menjadi antara asas penting dalam usaha membolehkan anak-anak setempat meningkatkan taraf hidup serta merealisasikan potensi masing-masing pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post 2,521 PENJAJA NIKMATI PENGURANGAN 50 PERATUS LESEN MBMB