
GLAMPING TASIK CHINCHIN MULA DIBANGUNKAN 2027
AYER KEROH 5 Oktober – Pembangunan kemudahan ‘glamping’ di Taman Ekstrem Tasik Chinchin, Jasin dijangka bermula Januari tahun depan selepas projek berkenaan mendapat kelulusan awal Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pengurus Besar Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, ketika ini pihaknya sedang melengkapkan dokumentasi berkaitan termasuk urusan pelantikan perunding bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dimulakan mengikut perancangan.
Katanya, peringkat awal projek akan memberi tumpuan kepada penyediaan reka bentuk, manakala pelantikan perunding dijangka dibuat sekitar Mac 2027.
“Antara komponen yang dirancang ialah penyediaan kemudahan glamping (percutian berkonsepkan aktiviti perkhemahan mewah), selain aktiviti luar yang bersesuaian dengan konsep ekopelancongan bagi menambah tarikan di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh mengadakan Lawatan Kerja dan Sesi Pembentangan Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) dan Zoo Melaka Sdn Bhd di Zoo Melaka, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Maslina Baki; Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Datin Elya Juliana Abdul Wahab dan Pengarah Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid.
Ahmad Azlan berkata, infrastruktur sedia ada di Tasik Chinchin juga telah lengkap dan tumpuan kini diberikan kepada pengisian serta kandungan produk bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Di kawasan ini ada tasik dan aktiviti luar, jadi secara tidak langsung kita dapat membangunkan kawasan luar bandar dalam daerah Jasin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

