Uptown Pahlawan Walk: MBMB cari penyelesaian menang-menang untuk semua pihak

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PENGKALAN BATU 9 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengadakan sesi dialog bersama semua pihak berkaitan bagi membincangkan mengenai ‘Uptown Pahlawan Walk’ dalam masa terdekat.

Datuk MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, dialog itu penting bagi mencapai kata sepakat dan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Katanya, setakat ini lebih 60 peratus pemilik bangunan dan peniaga di Plaza Mahkota, bersetuju jika Uptown Pahlawan Walk dipindahkan ke lokasi lain.

Jelasnya, peratusan itu dikira menerusi sesi dialog bersama persatuan peniaga diadakan di Dewan Taming Sari, MBMB baru-baru ini.

“Isu peniaga di Pahlawan Walk ini kita tidak boleh mendengar sebelah pihak sahaja, MBMB akan ambil kira suara semua pihak.

“Seperti peniaga di Bangunan Plaza Mahkota, di sana terdapat lebih 60 pengusaha hotel bajet dan lebih 10 pengusaha restoran atau kedai makan terkenal di negeri ini. Hampir kesemuanya setuju Pahlawan Walk dialihkan kerana didakwa mengganggu kemudahan asas buat pelanggan mereka.

“Isu tular di laman sosial kebanyakannya negatif, kita di peringkat MBMB mahu mendengar isu sebelum diperhalusi dan diangkat serta diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santai @Sungai Melaka di SDG Park, di sini, malam tadi.

Menurutnya, mereka yang terlibat masih dibenarkan berniaga dan menjalankan operasi seperti biasa, malah Kerajaan Negeri belum mengambil atau melaksanakan apa-apa tindakan.

Sehubungan itu beliau meminta netizen tidak menyebarkan berita palsu atau perkara tidak sahih.

“Sekiranya dipindahkan, kita akan pastikan lokasi tersebut lebih selesa dan berhampiran dengan kawasan mereka pernah meniaga sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3800
Kongsi :
Previous post 63 tandas awam di Melaka bersih, menawan dan wangi
Next post Santai @Sungai Melaka promosi lokasi riadah baharu di Taman SDG
Ubah saiz-+=