63 tandas awam di Melaka bersih, menawan dan wangi

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

RIM 8 Julai – Sebanyak 63 tandas awam di Melaka menerima perkhidmatan penyelenggaraan kerja-kerja pembersihan daripada SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment).

Kesemua tandas awam itu membabitkan dua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka iaitu Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, SWM Environment sentiasa komited dalam memastikan semua tandas awam ini diselenggara dengan baik.

Katanya, penyelenggaraan pembersihan tandas awam oleh SWM Environment telah bermula sejak Januari tahun ini di dalam kawasan pentadbiran MPJ, manakala kawasan pentadbiran MPHTJ sejak April lalu.

“Malah, kami yakin dapat memberi perkhidmatan yang terbaik jika diberi tanggungjawab untuk menyelenggara tandas awam lain yang terletak di seluruh negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas majlis pelancaran Program Tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) di Tandas Awam Medan Selera Waterfront Jasin, di sini, hari ini.

Pelancaran program tersebut telah disempurnakan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Hadir sama Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Ab Mutalib.

Untuk rekod, Jasin menjadi daerah pertama di negeri Melaka yang melancarkan kempen berkenaan bagi menyahut saranan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berhasrat mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam yang melibatkan semua PBT di seluruh negara.

Pada majlis sama juga, turut diadakan Kempen Kitar Semula KITARecycle Jom Masuk Kampung di Perkarangan Stadium Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5532
Kongsi :
Previous post Sebak selepas ditawarkan kerja
Next post Uptown Pahlawan Walk: MBMB cari penyelesaian menang-menang untuk semua pihak
Ubah saiz-+=