
‘SAYA ANAK MALAYSIA’ CARA PERZIM SEMARAK 16 SEPTEMBER
BANDA HILIR 16 September – Seramai 30 anak-anak Melaka yang lahir pada bulan September diraikan pada program Cuti Sekolah: Saya Anak Malaysia anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), hari ini.
Program dianjurkan bersempena sambutan Hari Malaysia itu diadakan di Muzium Sejarah dan Etnografi membabitkan pelbagai pengisian menarik untuk anak-anak, antaranya sambutan hari lahir, lawatan berinformasi ke muzium, aktiviti seni serta pelbagai lagi.
Ahli Lembaga Pengarah PERZIM Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai tarikh keramat 16 September yang menjadi satu detik penting kepada penubuhan Malaysia. ,
Pada masa sama, jelas beliau, program itu juga menjadi platform penting dalam memberikan pengalaman bermakna kepada anak-anak melalui aktiviti yang menyeronokkan dan berinformasi serta mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui penglibatan ibu bapa, guru, dan anak-anak dalam aktiviti bersama.
“Kita juga amat berharap program yang dianjurkan PERZIM ini dapat memupuk anak-anak menjiwai erti Anak Malaysia dan semoga program ini dapat diadakan secara berterusan pada setiap tahun.
“Saya juga menyarankan ibu bapa agar membuat satu kumpulan sembang mengumpulkan semua yang ada pada program ini supaya dalam tempoh beberapa tahun lagi, mereka dapat berkumpul semula dan mengenang kembali program istimewa yang disertai mereka ini,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Hadir sama, Kurator Bahagian Pemuziuman (Pendidikan) PERZIM Noor Azimah Md Ali serta lain-lain kenamaan.
Menurut Akramuddin, istimewanya, semua peserta yang menyertai program berkenaan bukan sahaja menerima cenderahati eksklusif program, bahkan mereka juga dapat masuk ke mana-mana muzium di bawah PERZIM secara percuma selama setahun.
Ujar beliau, selain menghargai anak-anak yang lahir pada bulan September, usaha itu juga membantu dalam mendekatkan muzium-muzium yang ada di Negeri Melaka kepada generasi muda.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.