“Saya tahu Amir sakit rindukan saya, saya dapat rasakan” – ibu angkat

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

BATU BERENDAM 29 Jan. – “Saya rasa menyesal tak pertahankan dia dan tidak patut saya serahkan Amir jika ini pengakhiran hidupnya.”

Itu kekesalan dizahirkan Norlida Abu Hassan, 50, selepas mengetahui kematian anak angkatnya, Zubaidy Amir Qusyairi Abdul Malek, berusia tujuh tahun petang semalam, dipercayai akibat didera.

Kisah perpisahan Norlida dan Zubaidy Amir pernah tular di Facebook pada Oktober tahun lalu dan mendapat perhatian ramai yang turut bersedih berikutan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu terpaksa diserahkan semula ke pangkuan ibu kandungnya.

Norlida berkata, dia sekeluarga amat terkejut selepas dihubungi jiran ibu kandung mangsa dari Krubong pada jam 8 malam semalam dan berkongsi berita sedih itu selepas mengetahui video tular itu.

NORLIDA sebak ketika menceritakan mengenai anak angkatnya, Foto: MR. Azli

Katanya, dia anak-beranak hanya mampu meraung kesedihan kerana tidak menyangka kematian tragis mengakhiri hidup anak angkatnya yang ‘ditatang bagai minyak penuh’ sebelum bergegas ke Melaka malam tadi.

“Sebagai ibu saya faham apabila ibu kandung Amir selalu mengatakan kerinduannya pada anak. Namun saya terpaksa reda melepaskannya memandangkan ketika diminta menjaganya oleh ibu kandung, tiada perjanjian hitam putih dibuat antara kami.

“Malah, ketika menyerahkan semula Amir, saya terpaksa akur kerana tak mahu bergaduh dengan ibunya.

“Bagaimanapun, sepanjang menjaganya dari usia dua bulan hingga Oktober tahun lalu, boleh dibilang dengan jari ibu kandungnya datang berjumpa, malah langsung tidak ambil tahu dan jarang bertanya khabar,” katanya ketika ditemui di rumah rakannya di Batu Berendam di sini hari ini.

Norlida berkata, selepas mereka berpisah, ibu kandung Amir menghalang mereka daripada terus berhubung.

“Kami nak bercakap (telefon) pun dihalang, WhatsApp juga tidak bagi. Itu yang saya sangat terkilan, malah bapa tiri Amir terpaksa membawanya berjumpa saya secara senyap kerana ibunya bimbang saya akan ambil semula Amir,” katanya lagi.

Berkongsi rasa ketika detik terakhir bertemu pada awal November tahun lalu, Norlida berkata bapa tiri Allahyarham yang bekerja sebagai pemandu lori membawa Amir berjumpanya di kedai makan di Rawang tanpa pengetahuan ibunya.

NORLIDA menjelaskan anak angkatnya, Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek, amat disayangi ahli keluarganya dan dipelihara sejak usia dua bulan. Foto: MR. Azli

“Hampir satu jam kami menghabiskan masa, malah sempat bergambar bersama dan saya sempat bertanya arwah hendak duduk dengan siapa namun dia (Amir) hanya diam.

“Dia tak bercakap tetapi saya bertanya, ‘Adik rindu Umi tak?’ dia menjawab ‘Adik rindu Umi, Amir rindu abah, kakak dan abang tapi Amir tak boleh. Amir terpaksa ikut mama (panggilan kepada ibu kandungnya).

“Melalui nada suaranya, saya tahu dia sakit rindukan saya, sakit sangat!” katanya sebak.

Sementara itu, Norlida dalam pertemuannya bersama pemberita hari ini tidak henti-henti menceritakan mengenai kecerdikan kanak-kanak itu, malah menyifatkan kehadiran Zubaidy Amir penyeri dalam kehidupannya sekeluarga.

“Arwah seorang yang sangat cerdik, dia tak pernah merengek dan tak pernah meminta, malah saya tidak pernah merasa beban membesarkannya dan kami sekeluarga menganggap dia anak bongsu dalam keluarga.

“Kakak (anak perempuannya) ajar Surah Al-Mulk, dia hafal sampai habis,” katanya.

Views:

979
Kongsi :
Previous post Bantu polis buru dua suspek kes samun ‘Pak Akob’ dan ‘Black’
Next post Syarikat elektronik Jerman buka kilang di Melaka
Ubah saiz-+=