Syarikat elektronik Jerman buka kilang di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 30 Jan. – Syarikat elektronik terkemuka dunia yang berpangkalan di Owen, Jerman, Leuze memperluaskan operasinya bagi memenuhi permintaan pasaran Asia dengan membina kilang baharu di Melaka.

Kilang berkenaan yang kini dalam pembinaan dijangka siap pada suku pertama 2022 dan beroperasi sebagai Leuze electronic assembly Malaysia Sdn. Bhd iaitu anak syarikat milik penuh Leuze electronic GmbH + Co. KG.

Dijangkakan apabila beroperasi kelak, kilang itu bakal membuka kira-kira 200 peluang pekerjaan buat rakyat negeri ini.

Menurut wakil Presiden Leuze Asia, Matthias Höhl, pemilihan Melaka adalah bertepatan dalam usaha syarikat untuk memenuhi permintaan tinggi di pasaran Asia.

Katanya, bagi menembusi pasaran Asia Tenggara pihaknya sudah membuka kilang di China pada 2006 dan Singapura pada 2015.

“Pembinaan kilang baharu di Malaysia adalah bertepatan dengan strategi pertumbuhan global syarikat ini.

“Asia adalah pasaran yang berkembang pesat dalam bidang elektronik dan menjanjikan potensi yang boleh dikembangkan lagi seperti contoh dalam bidang makmal automasi, salah satu industri tumpuan kami,” katanya seperti dipetik dari portal evertiq.com

Kilang itu sedang dibina di kawasan tapak seluas lebih 17,000 meter persegi yang mana untuk fasa pertama, kira-kira 4,500 meter persegi akan disiapkan untuk operasi logistik manakala 1,000 meter persegi lagi untuk bangunan pentadbiran.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Leuze Jochen Wimmer menyifatkan pembinaan kilang di beberapa negara di Asia antara strategi terbaik buat syarikat dalam meningkatkan pengeluaran sepanjang pasca pandemik COVID-19.

 

Views:

4012
Kongsi :
Previous post “Saya tahu Amir sakit rindukan saya, saya dapat rasakan” – ibu angkat
Next post Singapura gantung peraturan RGL dengan Malaysia selama tiga bulan
Ubah saiz-+=