Bantu polis buru dua suspek kes samun ‘Pak Akob’ dan ‘Black’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BUKIT RAMBAI 30 Jan. – Polis Melaka sedang mengesan dua lelaki disyaki terbabit dalam kes samun hingga menyebabkan kecederaan di Taman Rambai Tengah, di sini, pada 26 Januari lalu.

Individu itu dikenali Ya’akob Jaffar atau Pak Akob yang beralamat di Jalan Hj Sidang Wahab, Bukit Rambai dan Mohd Saiful Raja Patal Osman atau Black yang beralamat di Jalan Bukit Rambai, Rumah Awam Bukit Rambai, Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki berusia 25 tahun parah dibelasah lima lelaki selain turut kehilangan telefon bimbit jenis Samsung A31.

Jelasnya, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki berusia 22 hingga 23 tahun di Bukit Rambai, Klebang dan Batang Tiga pada 27 dan 28 Januari.

Katanya, hasil soal siasat ketiga-tiga mereka mengaku terbabit kes itu dan dan polis turut menjumpai semula telefon bimbit mangsa yang disamun.

“Ketiga-tiga suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Kita kini sedang memburu dua lagi suspek dikenali sebagai Pak Akob dan Black yang masih bebas.

“Pihak Polis Melaka memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kedua-dua suspek ini agar menyalurkan kepada pihak polis di talian 06-2851999 atau Inspektor Khairul Ridzuan Ruslan di talian 019-3455593,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimun 20 tahun dan denda atau sebat.

-HABIS-

Views:

1270
Kongsi :
Previous post Suami isteri direman tujuh hari bantu siasatan kes anak disyaki didera hingga mati
Next post “Saya tahu Amir sakit rindukan saya, saya dapat rasakan” – ibu angkat
Ubah saiz-+=