Suami isteri direman tujuh hari bantu siasatan kes anak disyaki didera hingga mati

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 30 Jan. – Pasangan suami isteri direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan kes kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang disyaki didera hingga maut di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, di sini, petang semalam.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi sebentar tadi selepas dipohon polis mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek berusia 38 tahun dan 32 tahun yang juga bapa tiri dan ibu kandung kanak-kanak itu dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh pada jam 9.20 pagi selepas ditahan di rumahnya di Taman Krubong Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dilapor berkata, Bilik Gerakan Melaka Tengah menerima maklumat dari seorang lelaki berusia 38 tahun mendakwa anak tirinya lemas dalam tong air di rumahnya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa bagaimanapun menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh.

Untuk rekod, kisah kanak-kanak malang itu sebelum ini pernah tular Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak bayi terpaksa memulangkan Zubaidi Amir kepada ibu kandungnya.

Kisah itu dikongsikan menerusi satu klip video di Facebook yang menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak terbabit sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya.

Views:

648
Kongsi :
Previous post ‘Ebit Lew Melaka’ korban masa, tenaga bantu insan kesempitan hidup
Next post Bantu polis buru dua suspek kes samun ‘Pak Akob’ dan ‘Black’
Ubah saiz-+=