‘Ebit Lew Melaka’ korban masa, tenaga bantu insan kesempitan hidup

Masa Membaca:2 Minit, 43 Saat

MALIM 30 Jan. – Membantu tiga wanita menghampiri usia emas yang sanggup berjalan kaki berpuluh kilometer demi mendapatkan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, menjadi antara detik tidak akan dilupakan buat Shikh Muhammad Makhdad Harun, 48.

Jelasnya, sejak memulakan program #KongsiRezeki iaitu berkongsi bakul makanan keperluan asas, detik seperti itu acap kali dilihat sekali gus membayangkan terdesaknya segelintir rakyat di negeri ini sejak dunia diserang pandemik COVID-19.

Dia yang mengusahakan program itu bersama isteri, Siti Zaidah Mohd Shah, 51, dan anak, Nurmimie Alisya Putri, 23, di kediamannya di Taman Asean 2, di sini, berkata, walaupun terpaksa mengorbankan masa dan tenaga setiap hari, namun penat lelah itu berbaloi apabila ramai yang menghargai usaha kecilnya itu.

SHIKH Muhammad Makhdad berkata penat lelah mereka sekeluarga terubat apabila ramai yang menghargai usaha kecil itu. Foto: MR. AZLI

“Ada penerima bantuan bukan sahaja mengalirkan air mata, malah ada yang sampai menadah tangan di depan pagar rumah ini dan mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga kerana sudi menghulur bantuan kepada mereka.

“Kebanyakan yang mengambil bantuan makanan ialah mereka yang terkesan, rata-ratanya peniaga gerai makan serta tukang cuci dari seluruh negeri ini yang terjejas pendapatan sepanjang musim pandemik ini.

“Sejak PKP 2.0, kira-kira 70 orang sudah datang ke sini setiap hari dari jam 6 petang hingga 9.30 malam untuk mendapatkan bantuan makanan.

“Sama ada benar-benar terdesak atau tidak itu semua bergantung kepada kejujuran mereka kerana kami menolong dengan seikhlas hati tanpa mengira latar belakang,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, Shikh Muhammad Makhdad atau mesra disapa Pak Ngah berkata, bantuan disalurkan itu bukan sumbangan peribadi mereka sekeluarga sahaja, malah sejak memulakan program pada PKP 1.0 Mac lalu, ramai individu turut menyumbang dalam pelbagai bentuk dan memberi kepercayaan kepadanya menguruskan sumbangan.

“Memang ada pihak memperlekeh usaha ini dan mendakwa kami sengaja mencari populariti, namun semua itu bukan penghalang untuk kami terus berbakti kepada masyarakat.

“Selagi boleh membantu saya akan terus bantu walaupun hanya sekotak biskut. Bagi kita mungkin kecil, namun bagi mereka yang benar-benar kesusahan sumbangan itu besar maknanya,” ujarnya yang turut mengambil inspirasi daripada usaha pendakwah bebas, Ebit Lew.

SHIKH Muhammad Makhdad (kanan) bersama isteri Siti Zaidah (kiri) dibantu dua orang anaknya menyediakan sumbangan keperluan harian untuk diberikan kepada yang memerlukan pada program ‘Kongsi Rezeki’ di Taman Asean 2, Balai Panjang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Pada masa sama, dia berharap, usaha itu dapat membuka mata lebih ramai pihak di luar sana untuk berkongsi rezeki bagi membantu golongan yang terbeban sepanjang tempoh sukar ini.

Sementara itu, seorang ibu tunggal empat anak yang ditemui MHI di kediaman terbabit, kelihatan sebak dan mengalirkan air mata ketika mengambil bantuan makanan bersama bapanya dengan menaiki motosikal yang sudah uzur.

Nor Ain Hamid, 28, yang ditinggalkan suami sejak beberapa tahun lalu mengakui bantuan makanan selain susu formula dan lampin pakai buang itu sangat bernilai baginya dalam membesarkan anak-anak yang masih kecil, termasuk seorang yang menghidap asma.

“Memanglah segan untuk datang ke sini dan meminta bantuan. Tapi memikirkan beras di rumah sudah kian susut, saya terpaksa tebalkan muka demi anak-anak.

“Saya bersyukur masih ada insan mulia sudi membantu kami sekeluarga. Semoga Allah SWT sahaja dapat membalas jasa mereka,” katanya.

Views:

1078
Kongsi :
Previous post Edar sumbangan makanan secara pandu lalu, cegah COVID-19
Next post Suami isteri direman tujuh hari bantu siasatan kes anak disyaki didera hingga mati
Ubah saiz-+=