Edar sumbangan makanan secara pandu lalu, cegah COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 30 Jan. – Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara mengambil inisiatif bijak dengan mengedarkan Kit Makanan Kecemasan (Musa’adah) secara pandu lalu di pekarangan pejabatnya, semalam.

Setiausahanya, Ahmad Warid Ismail berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud mencadangkan kaedah itu bagi mengelak terlalu ramai penerima sumbangan bersesak di kawasan itu selaras pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah wabak COVID-19.

“Berdasarkan pengalaman lalu, terlalu ramai orang berkumpul di tempat pengagihan sumbangan hingga menyebabkan aspek penjagaan jarak fizikal satu meter tidak dipatuhi.

“Jadi, Datuk Md Rawi mencadangkan kaedah pandu lalu dan Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan penerima ceria tidak perlu berbaris dan bersesak untuk mengambil sumbangan,” katanya di sini.

Seramai 310 individu menerima sumbangan itu yang disumbangkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu.

Pemilihan penerima dilakukan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak pengurusan masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Penerima, Ali Long, 53, memuji kaedah pandu lalu yang dilihat mampu mencegah penularan wabak COVID-19.

“Tahniah kepada ADUN dan pegawai JAPERUN kerana bertindak bijak mengagihkan kit makanan secara pandu lalu dan mengurangkan bahaya penularan COVID-19.

“Sumbangan barangan keperluan asas ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami terutama mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik berbahaya itu,” katanya.

MAIM menyediakan 10,000 kit makanan berkenaan yang bernilai RM400,000 bagi membantu golongan terbabit.

Kit mengandungi beras, gula, tepung, susu, sardin, garam, biskut, kopi dan minuman kordial itu diedarkan MAIM kepada JAPERUN di seluruh negeri ini.

Views:

847
Kongsi :
Previous post Pencipta Mi Goreng Indomie meninggal dunia
Next post ‘Ebit Lew Melaka’ korban masa, tenaga bantu insan kesempitan hidup
Ubah saiz-+=