‘Saya tidak sokong KLIP kerana mahu jaga kepentingan nelayan’

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LINGGI 22 April – “Saya tidak sokong projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) kerana ingin menjaga kepentingan nelayan.

“Sampai sekarang, pihak pengurusan Tag Marine Sdn Bhd tidak pernah ingin berjumpa saya untuk bincang nasib nelayan dan kalau dia hendak jumpa, sudah tentulah saya bawa Pengarah Jabatan Perikanan dan Pengarah LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) sekali.”

Itulah ditegaskan EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengenai KLIP di hadapan 209 nelayan di pejabat
Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB), di Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

NORHIZAM (kiri sekali) hadir pada majlis ramah mesra Mas Ermieyati Samsudin dengan ahli PNKMB di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.

Beliau berucap pada majlis ramah mesra Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dengan 209 ahli PNKMB.

Pada majlis itu Mas Ermieyati menyampaikan sumbangan wang tunai RM150 dan baucar makanan RM50 kepada nelayan untuk meringankan beban menyambut Ramadan.

Norhizam berkata, beliau tidak menyokong projek bernilai RM15 bilion itu kerana pihak pengurusan Tag Marine, iaitu pemaju cadangan projek KLIP tidak pernah mengadakan perjumpaan dengannya bagi membincangkan nasib nelayan yang bakal terjejas akibat projek itu.

“Mana ada EXCO yang turun ke laut jam 3 pagi kecuali saya? Saya buat kerja bantu nelayan dapatkan lesen menangkap ikan dan bermacam-macam lagi.

“Bukan bermakna saya sengaja enggan membantu menjayakan projek berkenaan, sebaliknya ingin memastikan nasib nelayan dibela.

“Kita harus mengambil kira nelayan yang ada lesen menangkap ikan dan juga mereka yang tidak ada lesen dan saya anggap Tag Marine tidak mahu bincang dengan saya,” katanya.

Fasa I cadangan projek KLIP membabitkan kerja menambak laut bagi membina pulau seluas 248 hektar yang 500 meter dari tanah besar akan dimulakan sebaik sahaja Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah Projek Maritim Linggi Base Sdn Bhd (LBSB), Komander (B) Ramli Johari dilaporkan berkata, sebaik sahaja EIA diluluskan dan kerajaan negeri memberi kelulusan untuk memasuki tapak pembinaan, projek itu akan dimulakan pada suku kedua tahun ini.

KLIP bukan untuk memenuhi permintaan pelabuhan kapal dagang, sebaliknya hub antarabangsa perindustrian minyak dan gas bersepadu, perkhidmatan pelabuhan dan perkapalan serta industri maritim yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi negeri dan Malaysia.

Apabila ia disiapkan dalam tempoh antara lima hingga lapan tahun, KLIP menyediakan peluang pekerjaan kepada 6,000 orang dengan 60 peratus tenaga mahir, 30 peratus kejuruteraan teknikal dan 10 peratus pengurusan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post Sorok ‘pump gun’, peluru di hospital, dua pengawal keselamatan ditahan
Next post TLDM gerak MV Mega Bakti bantu cari kapal selam TNI
Ubah saiz-+=