Sayur naik harga akibat musim hujan
AYER KEROH 13 September – Peniaga sayur di tiga pasar besar utama di negeri ini dikesan menaikkan harga jualan antara lima hingga lapan peratus sejak minggu lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka, Norena Jaafar berkata, peniaga memberi alasan terpaksa menaikkan harga berikutan kekurangan bekalan akibat musim hujan.
Norena berkata, keupayaan pengeluar sayur tempatan tidak mampu menampung permintaan dan sebagai alternatif bekalan terpaksa diambil dari Pasar Borong Selayang, Selangor dan Cameron Highlands, Pahang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang, Pasar Besar Jasin dan Pasar Besar Alor Gajah mendapati berlaku kenaikan ketara berbanding Pasar Merlimau, Jasin dan MBMB.
“Antara yang naik harga adalah sawi, kacang panjang, brokoli dan kangkung. Berlaku kenaikan harga antara lima hingga lapan peratus atau 50 sen hingga 80 sen.
“Kami akan terus melakukan pemantauan dan berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berlebihan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Rakan KPDNHEP Jom Teguh Bersama yang menyaksikan pertandingan boling antara KPDNHEP dan pengamal media Melaka di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), di sini, malam tadi.
Jelasnya harga sawi di Pasar Besar MBMB adalah RM4.50 satu kilogram (kg) berbanding RM6.50 di Merlimau selain brokoli masing-masing RM12 dan RM16.
“Jika boleh kita nasihatkan peniaga-peniaga terlibat untuk mengambil bekalan sayur ini daripada pemborong bagi menjamin kestabilan harga jualan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.