Sekolah menengah di Melaka disaran sertai Anugerah Remaja Perdana

AYER KEROH 6 Disember – Dalam melahirkan generasi muda yang berkepimpinan, berdaya saing serta bertoleransi, sekolah menengah di negeri ini diminta untuk terbabit secara langsung menyertai program Anugerah Remaja Perdana (ARP).

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata, pembabitan dan penyertaan membabitkan pelajar dilihat tidak meluas serta kurang mendapat sambutan meskipun Melaka mempunyai bilangan sekolah yang banyak.

“Melaka terdapat banyak sekolah tetapi saya dimaklumkan ada segelintir sahaja iaitu kira-kira 16 buah sahaja yang mengambil bahagian dan memainkan peranan dalam program ARP ini.

“Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri supaya semua sekolah di Melaka termasuk kolej dapat mengambil bahagian serta memandang serius tentang pencapaian anugerah ini.

“Penganjuran program ARP adalah penting dalam melahirkan anak-anak yang mempunyai pembentukan sahsiah diri yang baik, bersikap toleransi serta seorang yang berkepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Tahap Perak dan Gangsa Peringkat Negeri Melaka 2022 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri Khairul Adri Rosli, di Kolej Yayasan Saad, hari ini.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, pihaknya akan bergandingan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam memastikan pembabitan lebih banyak sekolah di Melaka menyertai anugerah itu pada tahun mendatang.

“Saya berharap JPN dan pihak sekolah akan memberi perhatian dalam hal ini dan menguruskan penyertaan pelajar agar turut terlibat sama.

“Jika sebelum ini difahamkan, kurangnya penglibatan disebabkan pengurusan masa, selepas ini mungkin dengan bantuan daripada JPN ia dapat menyusun atur dengan baik supaya semua sekolah dapat ambil bahagian,” katanya.

Untuk rekod, pada Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana 2022, seramai 173 pelajar ditauliahkan Tahap Perak manakala seramai 326 menerima Tahap Gangsa selepas berjaya melengkapkan empat komponen wajib iaitu Khidmat Masyarakat, Kemahiran, Rekreasi Fizikal dan Penjelajahan Lasak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

858
Previous post Muhyiddin jangan cabar, saya nak tumpu uruskan negara – PM Anwar
Next post Wanita Orang Asli maut dipercayai dipijak gajah