Semai cintakan negara menerusi sketsa – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TANJUNG BIDARA 4 September – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digalakkan untuk menganjurkan sketsa Rukun Negara bagi menghayati erti sebenar ideologi Kebangsaan Negara itu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ia bagi memastikan generasi hari ini dapat memupuk semangat cintakan negara.

Katanya, penganjuran pelbagai aktiviti melibatkan program patrotisme perlu disemarakkan di peringkat sekolah bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat.

“Sebagai contoh, hari ini saya dapat melihat pelajar sekolah menyertai pertandingan sketsa Rukun Negara untuk sampaikan mesej kepada masyarakat.

“Daripada penyertaan 46 buah sekolah, hanya enam sekolah yang dipilih untuk masuk ke peringkat akhir berentap mendapatkan gelaran juara.

“Selain mencungkil bakat mereka dalam sketsa ini, paling penting ialah kita dapat memupuk semangat cintakan negara.

“Justeru, saya menyeru kepada semua agensi kerajaan atau NGO agar semaikan semangat ini tidak mengira masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Falak Al-Khawarizmi di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka (JaPeN), Shahrom Ravindaram Abdullah dan lain-lain kenamaan.

Pada pertandingan itu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah dinobatkan johan sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000, piala sekolah dan individu serta sijil penyertaan.

Manakala, SMK Ayer Molek, Melaka Tengah dinobatkan naib johan dengan membawa pulang wang tunai RM1,500, piala sekolah dan individu serta sijil penyertaan diikuti SMK Sungai Rambai, Jasin di tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM500, piala sekolah dan individu serta sijil penyertaan.

Johan bagi pertandingan itu sekali gus layak mewakili Negeri Melaka untuk ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan dianjurkan pada Oktober depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post JKM kesan waris bayi perempuan
Next post Lelaki direman tujuh hari bantu siasatan penjawat awam dibelasah hingga mati
Ubah saiz-+=