
‘SEMANGAT SINGA’ GEGAR MELAKA MALL
AYER KEROH 17 September – Paluan gendang, gong dan simbal, selain sorakan gemuruh peserta dan pengunjung menggegarkan Melaka Mall, di sini, bersempena Kejohanan Tarian Singa Tradisional Terbuka Malaysia 2025 Piala Hang Tuah Jaya.
Kejohanan yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia 2025 itu merupakan anjuran Persatuan Tarian Singa dan Naga Wen Wei Melaka dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pejabat Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, walaupun julung kali diadakan, namun sambutan yang diterima cukup luar biasa apabila disertai sebanyak 20 pasukan dari seluruh negara.
Menurut beliau, sambutan yang diterima itu sekali gus mencerminkan Melaka sebagai destinasi pelancongan sukan terbaik di negara ini.
“Kami di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa komited memberi perhatian terhadap pembangunan sukan di Negeri Melaka kerana percaya bahawa kecemerlangan sukan bukan sahaja mengangkat nama atlet, tetapi juga meningkatkan imej Melaka di pentas dunia.
“Penganjuran kejohanan seperti ini bukan sekadar melihat kebolehan setiap pasukan mempamerkan aksi tarian singa terhebat, tetapi juga menyemarakkan semangat juang dan kebersamaan dalam dunia sukan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup kejohanan berkenaan, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Organisasi Kejohanan Tarian Singa Tradisional Terbuka Malaysia 2025 Piala Hang Tuah Jaya Wee Soon Fong serta lain-lain kenamaan.
Gelaran johan bagi kejohanan tersebut menjadi milik pasukan Xuan Long Dragon and Lion Dance Rawang Selangor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala dan medal, manakala naib johan milik pasukan Persatuan Tarian Naga dan Singa Qun Yi Kota Tinggi Johor dengan hadiah kemenangan RM3,000 berserta trofi dan medal.
Dalam pada itu, Sapiah menyeru semua pihak agar memberi sokongan kejohanan seumpamanya supaya dapat menarik minat generasi muda dalam bidang yang menggabungkan elemen sukan dan seni.
Malah, ujar beliau, usaha itu juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu memperkasa sukan tradisional Melaka di mata dunia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.