Semarak hubungan dua hala Malaysia-Mesir- Muhyiddin

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR 18 Jun – Usaha menyemarakkan semula hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Mesir, terutama dalam konteks politik dan ekonomi, adalah antara isu yang dibincangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi semalam.

Perdana Menteri berkata perbincangan yang julung kali diadakan secara persidangan video itu turut menyentuh isu-isu kepentingan bersama, khususnya dalam memupuk kerjasama lebih luas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

“Saya mengambil inisiatif mengemukakan pandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir, yang mana Tuan Yang Terutama (TYT) Abdel Fattah Al Sisi menyambut baik cadangan ini, dan mengalu-alukan perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan segera,” kata Muhyiddin dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

MUHYIDDIN… perbincangan menyeluruh dengan Mesir. Foto Facebook Tan Sri Muhyiddin.

Mesir, kata Perdana Menteri, merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lalu mencecah RM2.06 bilion.

Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar di Afrika, platform berkenaan turut digunakan untuk menggalakkan Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi berkenaan daripada negara ini, tetapi juga meningkatkan lagi jumlah import pada masa depan, katanya.

Perdana Menteri berkata menerusi perbincangan itu, beliau dan Abdel Fattah turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan di antara Malaysia-Mesir pada masa depan.

“Dalam hal ini, saya mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation dan cadangan ini telah disambut baik oleh TYT Presiden,” katanya.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh isu serantau dan antarabangsa khususnya situasi terkini di Palestin. Peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata di antara Palestin dan Israel yang berkuat kuasa pada 21 Mei lalu, turut mendapat pujian Malaysia.

“Dalam hal ini, saya telah membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia-Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

“Alhamdulillah, TYT Presiden menyatakan kesediaan kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Mesir atas peluang pendidikan yang telah diberikan kepada rakyat negara ini untuk melanjutkan pelajaran di negara berkenaan.

Katanya ketika ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu.

Mengakhiri perbincangan, kedua-dua pemimpin saling mengundang untuk masing-masing mengadakan lawatan rasmi ke atas kedua-dua negara selepas pandemik COVID-19 berakhir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post Pekerja positif COVID-19, pasar raya di Melaka Mall ditutup enam hari
Next post Melaka umum SOP ibadat korban 28 Jun – KM
Ubah saiz-+=