Sensasi rentapan ‘yu berkepala pari’ Kelong Umbai

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERKAM 25 November – Seorang pemancing sama sekali tidak menyangka umpan udang hidup yang dilabuhkannya ketika memancing di Kelong Umbai, di sini, disambar spesies yang tidak disangka-sangka.

Mohd Khairul Isnin, 37, yang memancing bersama empat lagi rakannya terkejut apabila pertarungan mendebarkan hampir 40 minit berakhir dengan tumpasnya ikan ‘yu berkepala pari’ atau nama komersialnya yu kemejan.

Menceritakan detik pertarungan itu, pemandu lori yang digelar Ayun Rimba Pari berkata, sebaik joran 10 kaki yang dipadankan dengan kekili bersaiz 5,000 direntap spesies pemangsa itu kira-kira jam 3.30 petang, dia dapat merasakan sesuatu yang berbeza berada di hujung kail.

“Saya biasa mendaratkan ikan pari, malong dan tebal pipi di sini, tetapi kali ini, saya dapat rasakan ia ikan yang berbeza.

“Corak larian (ikan) tidak seperti kebiasaan dan tarikannya begitu agresif kerana ia mempunyai ekor yang turut sama merentap tali pancing.

“Alhamdulillah, selepas hampir 40 minit bertarung, ikan mulai lemah dan rakan kami berjaya menaikkan ikan itu ke kelong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2022-11-24 at 13.20.38
RAKANNYA turut tidak melepaskan peluang bergambar bersama trofi dari laut Umbai itu.

Mohd Khairul yang berasal dari Malim berkata, walaupun ikan seberat hampir 10 kilogram itu bukanlah ikan terbesar pernah didaratkannya, namun dia tetap menganggapnya sebagai satu trofi baharu sebagai kaki pancing.

Ini kerana katanya, sejak menceburkan dalam arena ‘hanyir’ lebih 10 tahun lalu, ia adalah lesen pertamanya mendaratkan spesies itu.

“Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk membawa ikan ini pulang untuk dimasak asam pedas.

WhatsApp Image 2022-11-24 at 13.31.37
IKAN pari turut didaratkannya di Kelong Umbai.

“Sama seperti ikan pari, isi ikan ini juga sangat lembut dan enak dimakan,” katanya yang turut menaikkan dua lagi ikan pari seberat 18 dan 10 kilogram pada trip yang sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3695
Kongsi :
Previous post Pejam celik Papayun Kitchen Shellout sudah setahun
Next post PM Anwar mula tugas secara rasmi di Perdana Putra
Ubah saiz-+=