Seorang maut, seorang parah motosikal rempuh lori

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

ALOR GAJAH 18 September – Seorang pemuda maut dan seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di Kilometer 210.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, penunggang motosikal Muhamad Firdaus Sahril maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Manakala pemboncengnya, Muhammad Muqri Zainudin, 22 parah dan kini berada di zon merah Hospital Melaka.

Menurut Arshad, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha R25 yang ditunggangi mangsa gagal dikawal lalu melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua kenderaan yang terlibat masih berada di tempat kejadian dan terdapat kesan geseran ditemui di permukaan jalan .

“Penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, manakala pembonceng telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Pemandu lori dan saksi telah diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan kenderaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6645
Kongsi :
Previous post Butik N5S Najjah: Syurga busana muslimah ‘plus size’
Next post Banjir kilat landa beberapa kawasan di Melaka
Ubah saiz-+=