Serah tapak Blok Wanita dan Kanak-Kanak pada Oktober depan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 23 Januari – Projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak di Hospital Melaka dijangka akan dimulakan pada tahun hadapan selepas majlis penyerahan tapak selesai dibuat pada Oktober ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pembinaan blok itu dijangka akan mengambil masa kira-kira empat tahun dan akan siap pada 2029 sekiranya perjalanan projek itu berjalan seperti yang dijadualkan.

“Untuk pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak ini kita sudah menerima peruntukan sejumlah RM700 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2023 dan sebagai permulaan dijangka pada Oktober depan akan diadakan penyerahan tapak kepada kontraktor sebelum bangunan lama di tapak itu dirobohkan.

“Kita jangka paling cepat pembinaan akan dimulakan pada tahun hadapan dan mengambil masa kira-kira empat tahun sebelum siap pada 2029 malah saya difahamkan reka bentuk bangunan masih dalam proses penilaian pihak yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Menaiktaraf Dan Penggantian Sistem Lif Hospital Melaka, di Hospital Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.

Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, apabila siap kelak, ia bukan sahaja akan dapat mengurangkan kesesakan malah memberi keselesaan kepada pesakit yang datang menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Apabila siap kelak blok ini akan dilengkapi dengan 396 katil sekali gus dapat mengurangkan kesesakan dan memberikan keselesaan kepada pesakit yang menerima rawatan.

“Berdasarkan perancangan juga, dimaklumkan juga selain wad, bangunan itu terbabit juga akan dilengkapi kamar bersalin, bilik bedah dan juga unit rawatan rapi (ICU) selain beberapa lagi perkhidmatan lain turut akan disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post Pemandu peribadi didakwa kelar tangan anak tiri, paksa minum air kencing
Next post Pemandu, penunggang p-hailing boleh nikmati internet serendah RM33 mulai hari ini – Fahmi
Ubah saiz-+=