Sorting by

×

SESI DIALOG BANTU PENDUDUK TERLIBAT PROJEK NAIK TARAF JALAN TUN HAMZAH-SEMABOK

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DUYONG 18 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong telah merangka satu sesi dialog bersama Jabatan Bantuan Guaman bagi membantu penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah bagi Projek Naik Taraf Jalan Tun Hamzah ke Semabok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, sesi dialog tersebut bertujuan memberi penerangan berkenaan hak pemilik tanah serta proses undang-undang yang perlu dilalui oleh penduduk yang terlibat dengan projek pelebaran jalan bernilai RM300 juta itu.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, Kerajaan Negeri menerusi WRUR DUN Duyong komited untuk membantu penduduk yang terbabit dalam pengambilan tanah, terutama dalam memberi kefahaman tentang prosedur, hak mereka dan tatakelola yang perlu dipatuhi.

“Projek naik taraf jalan ini membabitkan keseluruhan jajaran jalan sejauh 4.2 kilometer (km), dan sebanyak 60 peratus daripada laluan terlibat melibatkan kawasan DUN Duyong.

“Kita mahu memastikan bayaran pampasan kepada penduduk dibuat secara adil dan setimpal, selaras dengan amalan terdahulu di kawasan berhampiran, justeru itu sesi dialog ini diadakan bagi membantu mereka yang terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Peluncuran Projek Menaiktaraf Jalan di Dewan Serbaguna Kampung Bukit Duyong dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Mengecat Parapat di Kawasan Jambatan Duyong (Jalan Duyong – Bukit Baru), yang disempurnakan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, sempena WRUR DUN Duyong, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd. Khalil; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, usaha menaik taraf jalan secara berperingkat di DUN Duyong akan diteruskan mengikut keperluan dan kemampuan kewangan semasa.

“Matlamat utama kita adalah untuk mempertingkat keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhan. Setiap pelaksanaan dilakukan dengan teliti agar memberi manfaat berpanjangan kepada penduduk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post CINTA WARISAN BERMULA DI BANGKU SEKOLAH
Next post SUAMI ISTERI LARI DARI POLIS DICEKUP, MILIKI PELBAGAI REKOD JENAYAH