Sesi hari ketiga pemimpin parti politik menghadap Agong selesai

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR 11 Jun – Memasuki hari ketiga, beberapa lagi pemimpin parti politik negara menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan pemimpin pertama yang tiba untuk menghadap pada kira-kira 9.55 pagi, sebelum dilihat keluar meninggalkan Istana Negara pada 11 pagi.

Ahmad Zahid, yang turun daripada kenderaannya dan menemui pemberita yang menunggu di luar Istana Negara, berkata perbincangan ketika majlis menghadap itu menjurus kepada beberapa perkara yang menyentuh kepentingan rakyat.

AHMAD Zahid bercakap kepada media selepas sesi menghadap Agong. Foto FB-Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau telah mempersembahkan kepada Seri Paduka tentang pendirian UMNO terutamanya darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, dan sebaliknya isu berkaitan pandemik COVID-19 boleh diuruskan tanpa darurat.

Beliau berkata UMNO membawa suara rakyat yang rata-rata resah dan gelisah dalam menghadapi pandemik COVID-19 sehingga menjejaskan mata pencarian dan pendapatan ekonomi masing-masing.

“UMNO berpendirian Parlimen wajar bersidang, ini bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan dan wujud elemen akauntabiliti serta semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan pentadbiran negara. UMNO berpendapat Parlimen amat penting sebagai platform rasmi menyuarakan suara hati rakyat berkenaan kepentingan mereka,” kata Ahmad Zahid.

Berhubung cadangan penubuhan sebuah badan khas seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dicadangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak dibincangkan.

Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran pula tiba pada 10.45 pagi dan dilihat keluar hampir sejam kemudian dan berlalu pergi tanpa turun daripada kenderaan dinaikinya.

Pemimpin parti politik termasuk pembangkang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat bermula Rabu (9 Jun), dan bagi pemimpin parti-parti politik di Sarawak, majlis menghadap diadakan secara dalam talian yang dijadualkan pada 14 Jun.

Setakat ini, 10 pemimpin daripada parti politik selesai menghadap Al-Sultan Abdullah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post Atlet boling SUKMA Melaka raih 9A SPM
Next post 6,849 kes baharu, Selangor kekal catat kes tertinggi- KP Kesihatan
Ubah saiz-+=