Showcase Awie di Hotel LaCrista Jumaat ini

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

BANDAR MELAKA 26 April – Selepas lebih setahun tidak bertemu peminat, penyanyi rock terkemuka tanah air, Datuk Awie bakal membuat persembahan menerusi Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan di Hotel LaCrista Melaka, Jumaat ini.

Showcase anjuran Awie Entertainment dengan kerjasama HS Shazliciious Trading itu bakal menyaksikan lagenda rock itu menyanyikan 15 buah lagu bersama iringan pemuzik undangan pada persembahan yang dijangka berlangsung selama 90 minit.

Menurut Awie, persembahan itu mengambil keberkatan bulan suci Ramadan dan ia adalah salah satu dakwah melalui dendangan beberapa lagu yang berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian disampaikannya.

“Ini adalah salah satu cabang ibadah dan saya akan menyampaikan dakwah melalui lagu-lagu cinta seperti cinta pada Allah, ibu-bapa, isteri, anak-anak, alam semesta, sahabat, dan jiran untuk dihayati dan membangkitkan rasa tanggungjawab dalam diri penonton.

“Showcase ini lain dari yang lain kerana ia adalah salah satu bentuk dakwah dan banyak lagu-lagu yang akan saya sampaikan adalah tribute pada Search, Lefthanded seperti lagu Cinta Kristal tribute pada Wings,” katanya pada sidang media di Hotel LaCrista di sini malam tadi.

Hadir sama Pengarah Urusan Hotel LaCrista Datuk Rosthman Ibrahim dan Pengurus Projek, Mubarak Akhtar atau Hatta.

AWIE pada sidang media Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan di Hotel LaCrista Melaka. Hadir sama Pengarah Urusan Hotel LaCrista Datuk Rosthman Ibrahim (kiri) dan Pengurus Projek, Mubarak Akhtar (kanan)

Sementara itu Hatta berkata, persembahan malam itu akan diisi dengan aktiviti kerohanian bermula dengan sesi tazkirah sebelum majlis berbuka puasa.

“Selepas itu diikuti majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih sebelum  persembahan dijangka bermula pada jam 9.30 malam.

“Menariknya, Awie akan turut membawakan lagu raya pada malam itu berjudul Musafir di Aidilfitri dan Raya Yang Sempurna yang diharap dapat menghilangkan kesedihan peminat kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman.

“Selain itu, vokalis rock terbabit akan turut menyampaikan lagu hits Search, Mentari Merah di Ufuk Timur selain Harapan dari Wings dan Penjara Janji,” katanya.

Rosthman dalam pada itu berkata, showcase itu adalah salah satu cara kreatif mempromosikan LaCrista Hotel di saat berdepan cabaran pandemik COVID-19.

“Kami harap peminat artis tanah air seperti Datuk Awie dapat segera menempah meja untuk persembahan Jumaat ini selain Zamani yang turut membuat persembahan di sini pada 1 Mei ini,” katanya.

Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan yang terhad kepada 25 meja dan 200 penonton menawarkan harga mengikut pakej iaitu Silver Package Meja RM2,800, Kerusi RM350 (1 Meja 8 Orang), Gold Package Meja RM3,800, Kerusi RM475 (free T shirt), VIP Package Meja RM5000+ Goodies Bag +T Shirt + 1 Bilik Deluxe, Super VVIP Package Meja RM8,000+ Goodies Bag +T Shirt +2 Bilik Deluxe.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi HS Shazlicious di talian 019-7695588 atau Hotel La Crista 06-2816868 atau Zul Sayap Sayap Wings di 0102480106.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1356
Kongsi :
Previous post Dua maut dipanah petir
Next post Artis YouTube tiada album ibarat ‘rompak, lacuri’ industri hiburan – Awie
Ubah saiz-+=