Sindiket pecah rumah, curi kenderaan tiga negeri tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Lima lelaki tempatan ditahan dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di tiga negeri ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Klang, Selangor pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, semua suspek berusia antara 38 hingga 53 tahun ditahan dalam Op Pintu Khas dijalankan Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Katanya, penahanan lima suspek itu susulan pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 49 tahun mendakwa rumahnya di Taman Seri Songket, Batu Berendam dipecah masuk dan beberapa barangan berharga hilang membabitkan kerugian RM15,000 pada Rabu lalu.

“Bertindak atas laporan itu, polis menahan tiga suspek di sebuah pangsapuri di Taman Bayu Perdana, Klang pada jam 11.30 malam Khamis lalu sebelum menahan seorang lagi suspek di Taman Sri Wangi, Kapar, Klang jam 3.15 pagi keesokannya manakala seorang lagi suspek ditahan di sebuah kondominium di Taman Cheng Mutiara lapan jam kemudian.

“Dalam tiga serbuan berasingan itu, polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil pecah rumah termasuk minuman keras berjenama, komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan pelbagai mata wang asing.

“Turut dirampas kereta Kia Cerato yang dilaporkan hilang di Permas Jaya, Johor, sebuah Honda City yang dilaporkan hulang di Klang serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah, yang keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM300,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

fotor_2023-5-23_11_6_22
DUA kereta dipercayai dicuri dan satu kenderaan pacuan empat roda digunakan suspek untuk melakukan kegiatan pecah rumah. Foto ihsan PDRM

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan lanjut mendapati semua suspek dipercayai memecah masuk rumah ditinggalkan pemilik pada siang hari dengan memotong kunci mangga menggunakan alat pemotong besi.

“Siasatan turut mendapati suspek melakukan lebih 10 kes jenayah pucah rumah dan curi kenderaan di sekitar Melaka, Johor dan Klang, Selangor.

“Hasil semakan mendapati empat dari semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala saringan ujian air kencing mendapati kelima-limanya positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Zainol berkata semua suspek direman enam hari bermula Sabtu hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada semua suspek terlibat melakukan jenayah sama di negeri lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1382
Kongsi :
Previous post Melaka cari bintang muda sepak takraw
Next post Melaka Titans bukan pasukan ‘naik turun’
Ubah saiz-+=