Melaka cari bintang muda sepak takraw

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Mei – Melaka bakal memulakan pencarian mencari bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw menerusi penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Negeri Melaka Merebut Piala Ketua Menteri Melaka 2023 yang dijangka diadakan pada Julai depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, kejohanan yang bakal dikelola Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) itu adalah cetusan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sendiri, yang bertujuan untuk mencari pelapis baharu sukan tradisi itu.

Katanya, menerusi penganjuran itu juga, ia dapat membantu pembangunan akar umbi sukan berkenaan, yang mana pemain berpotensi boleh diketengahkan untuk mewakili Melaka pada kejohanan-kejohanan besar akan datang.

“Menyedari bahawa kita ketandusan pemain yang berwibawa dan berpotensi untuk mewakili Negeri Melaka, maka, saya menyokong penuh saranan Ketua Menteri bagi penganjuran kejohanan ini.

“Saya percaya dengan adanya kejohanan ini nanti, maka kita dapat mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk mewakili negeri dalam kejohanan-kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri pada Majlis Memperkenalkan Pemain Melaka Titans Bagi Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2023 – Liga Premier di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Yang Dipertua PASTAM Datuk Akramuddin Ab Aziz serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.

Sementara itu, Akramuddin berkata, kejohanan merebut Piala Ketua Menteri itu nanti bakal mempertandingkan dua kategori iaitu regu bawah 21 tahun dan atas 21 tahun.

Menurutnya, dengan memperkenalkan kategori bawah 21 tahun, pihaknya mahu mengetengahkan bakat-bakat muda yang bakal mewakili Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, tahun depan.

“Jadi, pemain-pemain inilah yang akan kita cari dan kumpul bagi menyarung jersi Melaka di SUKMA 2024.

“Setakat ini, kertas kerja telah kita siapkan dan kita juga bakal bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan sekolah-sekolah bagi membariskan pemain berumur bawah 18 tahun ini untuk diberi pendedahan awal melalui kejohanan ini,” katanya.

Tambahnya lagi, PASTAM menyasarkan sebanyak 34 regu bakal bertanding pada kejohanan itu nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1739
Kongsi :
Previous post STL2023: Melaka Titans sedia jadi pencabar
Next post Sindiket pecah rumah, curi kenderaan tiga negeri tumpas
Ubah saiz-+=