STL2023: Melaka Titans sedia jadi pencabar

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Mei – Melaka Titans sedia menggalas cabaran membawa nama Negeri Melaka dalam saingan Liga Sepak Takraw League (STL) 2023 – Liga Premier yang akan mula membuka tiranya pada 26 Mei hingga 5 Ogos ini.

Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata, walaupun bukan dianggap pasukan pilihan, namun Melaka Titans melaungkan kesediaan untuk menjadi pencabar utama dan enggan dikenali sebagai pasukan pelengkap.

Dengan membariskan lima bekas pemain kebangsaan, termasuk dua pemain anak jati Melaka yang berpotensi besar, beliau percaya pasukan itu mampu memberi saingan cukup hebat ke atas 10 pasukan yang beraksi musim ini.

“Insya-Allah dengan kehadiran pemain berkaliber dan berpengalaman dibantu dengan pemain muda dan barisan kejurulatihan yang mantap saya percaya pasukan ini boleh memperoleh sesuatu.

“Saya tidak meletakkan sasaran yang cukup tinggi. Apa yang saya mahu ialah kita fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan untuk membuktikan pasukan ini boleh menjadi pencabar dalam saingan kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Melaka Titans Bagi Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2023 – Liga Premier di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Terdahulu, majlis itu dirasmikan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.

Pada majlis itu, Melaka Titans memperkenalkan enam pemain termasuk empat bekas pemain kebangsaan yang bakal memperkuatkan pasukan itu seperti Sahidan Md Ali, Mohd Hanafiah Dollah, Mohd Faizul Hairi dan Izuan Afendi Azlan.

Turut tersenarai, Muhammad Ariff Daniel dan Mohd Fahmi Jalil, selain dua lagi pemain import yang bakal diumumkan kelak.

Dalam perkembangan lain, Akramuddin turut menyambut baik cadangan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk mengangkat kembali sukan sepak takraw sebagai antara sukan teras negara.

Katanya, cadangan itu berupaya mengangkat sukan tradisional negara ini ke satu aras yang lebih tinggi sekiranya ia direalisasikan kelak.

“Di peringkat Negeri Melaka, kita sudah bersedia dengan program-program akar umbi yang disusun untuk sukan ini.

“Melalui program-program tersebut, kita akan membuka langkah bagi mengumpul pemain berpotensi bagi mengembalikan kegemilangan sukan ini pada era 1970-an dan 1980-an lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2895
Kongsi :
Previous post ‘Konvoi kapcai’ satukan belia dan masyarakat
Next post Melaka cari bintang muda sepak takraw
Ubah saiz-+=