Melaka Titans bukan pasukan ‘naik turun’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Mei – Melaka Titans membawa misi besar mahu menjadi empat pasukan terbaik pada kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2023 – Liga Premier yang membuka tirainya, Jumaat ini (26 Mei).

Ketua Jurulatih Melaka Titans Khairul Anuar Ibrahim berkata, walaupun dikenali sebagai pasukan ‘underdog dan tidak dibarisi pemain ternama, namun, dia optimis gandingan pemain berpengalaman dan baharu bakal mencetus dimensi baharu sepak takraw negeri ini.

“Tiada pemain kebangsaan dalam pasukan bukan satu kelemahan pada saya. Saya percaya kelebihan dan pengalaman pemain yang ada ini dapat membantu kita meraih sesuatu.

“Secara peribadi, saya sasar mahu berada di kelompok empat terbaik, kerana Melaka sebelum ini dikenali sebagai pasukan ‘naik turun’ (naik liga dan turun liga).

“Jadi saya mahu pasukan ini terus kekal beraksi di Liga Premier pada musim-musim mendatang,” katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan pemain Melaka Titans.

Ditanya soal persiapan, Khairul Anuar yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, dia dan barisan kejurulatihan telah bermula lebih awal iaitu sejak tahun lalu untuk mempersiapkan pasukan.

“Sebaik sahaja tamat Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Mohd Ali tahun lalu, saya sudah bersedia untuk mempersiapkan pasukan STL2023.

“Bagi saya, proses mempersiapkan pasukan ini mudah kerana kebanyakan pemain pernah beraksi sesama sendiri dan memahami corak pemain masing-masing.

“Jadi, walaupun tidak dianggap gah, saya percaya pemain-pemain ini mempunyai potensi cukup besar dalam saingan kali ini,” katanya.

Melaka Titans yang juga juara Divisyen 1 STL musim lalu bakal berdepan juara Liga Premier STL 2022, ATM Guardians, dalam aksi pembukaan Piala Sumbangsih yang dijadual berlangsung 26n Mei ini di Kuala Kangsar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2338
Kongsi :
Previous post Sindiket pecah rumah, curi kenderaan tiga negeri tumpas
Next post 53 pelajar pendidikan khas terima SKM Tahap 2 pada Majlis Graduasi ProMKeSK
Ubah saiz-+=